60 peratus pesakit mental alami masalah berulang
Isabelle Leong
November 6, 2017 07:27 MYT
November 6, 2017 07:27 MYT
Pesakit mental perlu mendapatkan rawatan secara konsisten bagi mengelakkan ia bertambah parah dan berulang.
60 peratus pesakit mental yang gagal mendapatkan rawatan yang betul berdepan dengan gangguan mental berterusan.
Bagaimanapun, Ketua Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Sungai Buloh, Dr Ahmad Zabidin Zakaria berkata melalui kemajuan ubat dan teknologi, 20 peratus pesakit mental boleh pulih sepenuhnya dengan rawatan yang konsisten.
“Kita mengambil pendekatan seperti biopsikososial.
“Rawatan biologikal ini, contohnya, memberikan rawatan ubat kerana kebanyakan pesakit mental ini ada kaitannya dengan ketidakseimbangan bahan kimia.
“Jadi dengan rawatan ubat ini, pesakit yang kekurangan dari segi kandungan hormon itu dapat dibetulkan,” kata beliau.
Peranan masyarakat turut boleh memberi impak dalam proses pemulihan pesakit mental.
“Masyarakat tidak patut melabelkan seseorang itu sebagai sesuatu yang tidak dikehendaki seperti memberikan ejekan, memberikan gelaran lucu.
“Selain tidak menyisihkan mereka, masyarakat juga perlu menerima mereka kembali bekerja kerana pesakit mental ini bukan orang yang tidak berpendidikan.
“Sesetengahnya mempunyai pendidikan yang tinggi dan adalah satu kebaziran intelektual dalam masyarakat kerana mereka tidak dapat bekerja,” tambah beliau.
Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 menunjukkan 4.2 juta rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas yang bersamaan dengan 29.2 peratus populasi negara menghadapi pelbagai masalah mental.
Bagi memastikan pesakit mental tidak terus tersisih, Hospital Sungai Buloh mengambil inisiatif mengadakan Hari Kesihatan Mental Sedunia pada 9 November ini dengan pelbagai aktiviti termasuk pengongsian pengalaman daripada pesakit yang menjalani rawatan, pameran hasil-hasil buatan pesakit dan teknik relaksasi oleh Jabatan Fisioterapi bagi memberikan kesedaran kepada umum.
#berulang
#Hospital Sungai Buloh
#Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015
#konsisten
#Malaysia
#mental
#parah
#pesakit
#rawatan