60 murid SK Setiawangsa pentaskan teater Ali Baba Oja dan Jin Toncet Muzikal

Astro Awani
Oktober 3, 2018 21:51 MYT
Teater kali ini akan dilakonkan oleh murid-murid Tahun Empat hingga Enam yang terdiri daripada ahli Kelab Teater Cenderawasih Sekolah Kebangsaan Setiawangsa.
Mungkin ramai di antara kita yang tahu akan sebuah kisah dongeng ‘Ali Baba Oja dan Jin Toncet’.
Kisah itu dihasilkan oleh tiga sabahat ketika mereka sedang menuntut di Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas di Cheras tiga tahun lalu.
Bagi mengelak karya itu terkubur, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersetuju membenarkan Ali Baba Oja dan Jin Toncet dipentaskan melalui teater muzikal secara terbuka.
Yang uniknya, teater kali ini akan dilakonkan oleh murid-murid Tahun Empat hingga Enam yang terdiri daripada ahli Kelab Teater Cenderawasih Sekolah Kebangsaan Setiawangsa.
Menurut Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut, Sah Pandi Abdul Manan, teater berbentuk muzikal itu akan dipentaskan di Auditorium DBP, di sini pada 6 dan 7 Oktober ini.
Shah Pandi berkata, para murid telah membuat latihan sejak dua bulan lalu dengan memilih pelakon dan pengarah terkenal Radhi Khalid sebagai pengarah teater.
Katanya, penganjuran teater muzikal terbuka itu merupakan cabaran luar biasa bagi murid dan guru sekolah terbabit.
“Pementasan teater muzikal ini juga adalah untuk mengutip dana kelab tersebut bagi meningkatkan bidang kebudayaan di sekolah berkenaan,” katanya.
Orang ramai berpeluang menyaksikan teater Ali Baba Oja dan Jin Toncet Muzikal yang akan dipentaskan pada 6 Oktober pada pukul 3 petang dan 8 malam manakala 7 Oktober (pukul 3 petang) dengan bayaran tiket RM35.
Sebarang pertanyaan berhubung tempahan dan pembelian tiket hubungi talian 012-304 6257 (Puan Ashfa).
#Ali Baba Oja #Cheras #DBP #Dewan Bahasa dan Pustaka #Jin Toncet #pendidikan #sekolah #teater #teater muzikal
;