5 lokasi air terjun terbaik di Selangor
Astro Awani
November 1, 2019 08:00 MYT
November 1, 2019 08:00 MYT
“AIR SEJUK nan jernih, membersihkan minda dan menenangkan jiwa”. Frasa ini cukup dekat dengan pencinta alam sekitar yang senantiasa mencari lokasi yang menenangkan untuk dilawati. Jangan risau, Negeri Selangor merupakan lubuk kepada seleksi lokasi air terjun yang bukan sahaja menakjubkan, malah mencabar.
Negeri Selangor sememangnya kaya dengan keindahan alam sekitar dan kawasan air terjun yang tenang dan mendamaikan. Namun, pemandangan ini mungkin tercela sekiranya orang ramai tidak melaksanakan tanggungjawab masing-masing dalam memelihara kebersihan alam sekitar. Justeru, kita perlu menjadi pengguna yang berhemah agar generasi akan datang dapat terus merasai dan menikmatan keindahan alam sekitar yang berkekalan.
Sila catat lokasi istimewa ini untuk rekod dan perancangan riadah anda. Namun, ada suatu yang perlu diberi perhatian iaitu pengunjung perlu peka terhadap faktor yang boleh mempengaruhi situasi, misalnya keadaan hujan atau elemen cuaca lain yang boleh menjejaskan aspek perjalanan dan keselamatan di lokasi.
1) Sungai Tekala
Salah satu air terjun menakjubkan di Selangor ialah Sungai Tekala yang terletak kira-kira 14km dari Semenyih di daerah Hulu Langat. Jarak Sungai Tekala dari Kuala Lumpur pula adalah kira-kira 50km. Pada tahun 1982, orang ramai akhirnya dapat menikmati keindahan Sungai Tekala setelah Taman Reaksi dibuka secara rasmi. Ia adalah tempat yang ideal untuk berkelah dan bersantai bersama keluarga dan rakan-rakan kerana anda hanya memerlukan 10 minit untuk sampai ke air terjun dari pintu masuk utama. Dengan caj masuk serendah RM 2 bagi orang dewasa dan RM 1 bagi kanak-kanak, lokasi air terjun ini dilengkapi dengan deretan gerai makan, surau, aksara dan tandas awam. Bagi yang ingin bermalam, perkidmatan menyewa chalet juga disediakan, atau anda boleh menyewa tapak untuk mendirikan khemah untuk lebih penjimatan.
2) Air Terjun Kanching
Hutan hujan Kanching yang juga dikenali sebagai Hutan Lipur Kanching terletak di antara Bandar Rawang dan Kuala Lumpur. Pada hujung minggu, hutan ini sangat terkenal sebagai lokasi untuk berkhemah, berkelah, berenang dan meredah hutan kerana lokasinya yang strategik dan dekat dengan pusat bandar. Laluan atau trek di hutan ini adalah agak mudah bagi yang mula ingin berjinak-jinak untuk meredah hutan dan ia juga dipenuhi oleh pelbagai spesis tumbuhan yang jarang dapat dilihat di tempat lain. Hutan ini diuruskan oleh pihak Tourism Selangor, dan mempunyai tujuh lapisan air terjun yang indah dan menakjubkan. Tambahan lagi, adalah suatu pemandangan biasa jika anda terlihat sekumpulan monyet bergayutan dari pokok ke pokok dalam habitat asli mereka. Bayaran masuk yang dikenakan adalah RM 1 seorang dan RM 2 untuk caj parkir bagi sebuah kereta.
3) Lata Medang
Terdapat satu lagi air terjun mencabar yang terletak di Kampung Pertak, Kuala Kubu Bharu. Air terjun ini berhampiran dengan kampung Orang Asli yang menjadi penduduk tetap di Kampung Pertak. Jika anda ingin ke air terjun Lata Medang, anda perlu bersiap sedia untuk mendaki ke lokasi diingini. Laluan trek adalah agak mudah bagi yang baru berjinak-jinak dalam aktiviti pendakian. Di sepanjang jalan ke air terjun Lata Medang, anda akan dapat menyaksikan pelbagai jenis tumbuhan dan pepohon, disertai permandangan yang indah. Anda akan dikenakan caj masuk sebanyak RM1 seorang untuk tujuan penambahbaikan dan penyelenggaraan lokasi air terjun tersebut.
4) Sungai Pisang
Air terjun ini terletak di pinggir Lebuhraya Karak. Untuk sampai ke air terjun ini, anda perlu memulakan aktiviti meredah hutan dari lokasi yang dinamakan sebagai Jungle Lodge (terletak di sepanjang Jalan Gombak lama ke Genting Highland). Perjalanan ke sana akan mengambil masa selama satu jam. Anda akan menyeberangi sungai beberapa kali, melalui terowong yang terletak di bawah Lebuhraya Karak dan mendaki melalui hutan berusia 100 tahun. Anda boleh melewati terowong dengan mengharungi laluan yang mempunyai air atau berjalan di bahagian tebing. Apa yang lebih menarik, anda boleh menikmati sensasi ala spa dengan air sungai yang menempatkan ikan-ikan kecil menggigit manja kulit-kulit mati yang terdapat di tapak kaki anda,
5) Sungai Chiling
Sungai Chiling adalah salah satu daripada air terjun yang menakjubkan dan luar biasa yang terdapat di Negeri Selangor. Perjalanan ke air terjun ini memakan masa kira-kira satu jam melibatkan aktiviti berjalan dan meredah hutan, Jadi anda perlu bersiap siaga untuk sebuah penggembaraan dengan keberangkalian pakaian menjadi basah seusai sampai ke lokasi. Air terjun dan sungai ini merupakan salah satu dari tapak Perlindungan Ikan Mahseer yang diuruskan oleh Jabatan Perikanan Selangor dan Jabatan Perhutanan Selangor. Air terjun Chiling mempunyai 3 paras air terjun tetapi anda hanya dibenarkan untuk menerokai hingga ke paras yang pertama manakala 2 paras selebihnya tidak dibuka kepada orang awam.
* Artikel disediakan oleh Tourism Selangor.
** Tourism Selangor adalah cabang pelancongan Kerajaan Negeri yang ditubuhkan untuk meningkatkan bilangan pelancong tempatan dan antarabangsa ke Negeri Selangor dengan membangunkan keindahan dan keunikan tersendiri Negeri.
#air terjun
#Air Terjun Kanching
#air terjun terbaik di Selangor
#Lata Medang
#Selangor
#Sungai Chiling
#Sungai Pisang
#Sungai Tekala
#Tourism Selangor