5 fakta menarik mengenai 'tembikai bergerak' hutan
Astro Awani
Disember 6, 2015 09:13 MYT
Disember 6, 2015 09:13 MYT
Selepas sepasang tapir Malaya dihantar ke Jepun pada Jumaat sebagai tanda simbolik hubungan erat antara bandaraya Kuala Lumpur dan Tokyo, perhatian mula tertumpu kepada spesis tapir benua Asia yang terancam ini.
Berikut adalah lima perkara menarik yang perlu anda ketahui.
1.Hidung tapir adalah fleksibel
Spesis tapir mempunyai muncung hidung yang unik.
Tapir menggunakan keunikan itu sebagai kelebihan untuk mengutip daun ketika mencari makanan selain berfungsi sebagai sistem pernafasan ketika berenang.
Penolong Penyelia Zoo Negara Hamdan Hamid ketika memberi makanan kepada dua ekor tapir di Zoo Negara-Astro AWANI/SATHESH RAJ
2. Tapir hamil untuk lebih daripada satu tahun
Kewujudan tapir dianggap luar biasa walaupun spesisnya terancam kerana proses pembiakan mereka mengambil masa yang agak lama.
Tapir mempunyai tempoh bunting selama 13 hingga 14 bulan dan tapir hanya akan melahirkan seekor anak tapir pada satu tempoh.
3. Tapir berperanan sebagai "tukang kebun hutan"
Ianya merupakan satu perkara kebiasaan buat tapir untuk berjalan jauh berbanding haiwan lain.
Tapir akan makan buah-buahan dan menelannya di satu lokasi sebelum beralih ke lokasi lain untuk membuang air besar.
Tapir turut dikenali dengan nama jolokan 'tukang kebun hutan' kerana najis dihasilkan dan dilepaskan di satu lokasi lain bagi membantu merancakkan pertumbuhan struktur hutan di lokasi yang mereka lawati.
4. Anak tapir digelar 'walking watermelon'
Anak tapir yang dilahirkan mempunyai jalur dan bintik kuning atau putih dan menyerupai seperti kulit buah tembikai. Ia digelar sebagai tembikai bergerak kerana dari jauh ia akan kelihatan seolah-olah seperti buah tembikai.
Jalur dan bintik itu juga membantu tapir menyamar di hutan dari si pemangsa. Namun, jalur dan bintik itu akan mula pudar selepas tiga bulan dan hilang sepenuhnya selepas lima atau enam bulan.
Jalur dan bintik pada badan anak tapir juga boleh membantu anak tapir menyamar di hutan daripada pemangsa.- Sumber gambar: LIana John
5. Tapir juga diburu untuk daging mereka
Umum mengetahui bahawa spesis mamalia ini terancam kerana aktiviti rakus manusia memusnahkan habitatnya.
Namun, ramai yang mungkin tidak menyedari tentang pemburuan haram spesis ini untuk dagingnya yang juga menyebabkan spesis ini semakin berkurangan.
Keunikan spesies Tapir Malaya