42 jenis roti canai beri penggemar pelbagai pilihan
Bernama
Mac 15, 2023 07:30 MYT
Mac 15, 2023 07:30 MYT
IPOH: Sebuah warung di Taman Temara di sini menawarkan roti canai dengan sedikit kelainan - atau boleh juga dikatakan dengan banyak kelainan, kerana ia menawarkan variasi 42 jenis hidangan roti canai.
Antara yang menjadi permintaan ramai pelanggan di sini ialah Roti Beef Cheese Blackpepper, Roti Chicken Mushroom Cheese dan Roti Banana Ice Cream, lebih-lebih lagi selepas variasi pelbagai menu yang ditawarkan itu menjadi tular baru-baru ini.
Pemilik perniagaan itu Zammawi Jaafar, 49, atau dikenali dengan nama panggilan Ijam berkata, lain-lain menu yang turut menarik perhatian ramai pelanggannya termasuk Roti Pulau Ayam, Roti Pizza Cheese dan Roti Lipat Lapan.
"Sejak usia remaja saya sudah merantau ke negeri lain dan menceburkan diri dengan kerja menebar roti canai sebelum mula berniaga sendiri di bawah pokok sekitar taman ini.
"Saya sentiasa menambah jenis roti canai yang ada supaya orang ramai mempunyai pelbagai pilihan dan tidak jemu untuk makan di sini, malah saya juga mementingkan kualiti makanan dengan bantuan isteri dan anak-anak, serta lebih 10 pekerja, untuk menjalankan perniagaan ini," katanya ketika ditemui Bernama.
Beliau berkata roti canai yang ditawarkan bermula dari RM1.40 hingga RM15 satu hidangan, di warung yang beroperasi dari pukul 7.30 pagi sehingga 1 tengah hari itu, dan pada bulan Ramadan ini pula beliau merancang untuk membuka gerainya dari pukul 3.30 petang sehingga 6.30 petang.
Sementara itu, isterinya Azyyati Ghazali, 45, berkata beliau turut terlibat menebar roti canai yang berjumlah sehingga ribuan keping dalam sehari, terutama ketika hari cuti dan hujung minggu berikutan kehadiran pelanggan yang terlalu ramai.
"Sejak awal pagi kami menebar roti tanpa henti selama berjam-jam bagi memenuhi permintaan pelanggan termasuk ratusan tempahan secara bungkus," katanya.
Seorang pelanggan yang ditemui Nur Ain Zulaikha Nor Azhar, 27, berkata beliau datang dari Batu Gajah semata-mata ingin bersarapan di warung itu kerana kelazatan Roti Beef Cheese Blackpepper.
"Roti canai jenis ini paling saya gemari kerana rasanya yang amat sedap jadi saya datang kembali untuk menikmatinya lagi," katanya.
-- BERNAMA