40 tahun dalam pasaran, arang keluarga Paudin terus jadi pilihan

Bernama
Oktober 24, 2021 11:35 MYT
Pekerja arang Mariam Che Muda, 56, menunjukkan sebahagian arang yang sudah siap dibakar sebelum dibungkus ke dalam beg plastik ketika ditemui Bernama di Kampung Bukit Mak Lipah Mahligai baru-baru ini. - Bernama
BACHOK: Kepulan asap hitam dan tebal sedikit pun tidak mengganggu tumpuan Nazri Mohd Sohor sebaliknya tangannya terus tangkas memasukkan kayu ke dalam 'gok', binaan seakan iglu yang berfungsi sebagai ketuhar untuk membakar kayu sehingga menjadi arang.
Itu rutin harian Nazri, 48, bersama isterinya Pazuriatiayu Paudin, 45, sejak lapan tahun lalu selepas mengambil alih perusahaan membuat arang berusia 40 tahun milik bapa mentuanya, Allahyarham Paudin Ismail.
Allahyarham Paudin meninggal dunia 17 Januari lepas.
Bercakap kepada Bernama, Nazri berkata arwah bapa mentuanya memulakan perusahaan membuat arang itu di Kampung Padang Raja, Melor, Kota Bharu sebelum beliau bersama lima ipar-duainya memindahkan tapak perusahaan ke lokasi sekarang berhampiran rumahnya di Kampung Bukit Mak Lipah Mahligai, di sini.
"Kemahiran menghasilkan arang kini diwarisi dan diturunkan kepada kami semua, terdapat 12 buah gok yang digunakan untuk membakar kayu seterusnya menghasilkan arang di sini.
"Proses pembakaran kayu mengambil masa antara dua minggu untuk gok kecil bersaiz 3.05 meter (m) dan tiga minggu untuk gok besar bersaiz 3.96m sebelum menjadi arang. Antara jenis kayu yang saya gunakan untuk membuat arang ialah kayu pokok rambutan, getah dan dokong," katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.
Bercerita lanjut, Nazri berkata untuk menghasilkan arang yang berkualiti, kawalan api perlu diberi perhatian.
"Selepas kayu dimasukkan ke dalam gok, api dinyalakan di bahagian tempat khas sebelah pintu utama. Kayu kemudian dibakar menggunakan suhu tinggi untuk tiga hari, sebelum proses pembakaran diteruskan menggunakan api sederhana serta kecil sehingga kayu bertukar menjadi arang," katanya.
Nazri berkata beliau perlu memeriksa gok lima kali sehari bagi mengelak ia merekah dan api merebak ke luar, selain gok juga perlu ditampal dengan tanah liat 'kelat masam' dan pasir halus basah di permukaan pintu bagi mengekalkan kelembapan supaya suhu terkawal.
Sementara itu, Pazuriatiayu berkata arang yang berkualiti tidak mengeluarkan percikan api dan mudah untuk dinyalakan.
"Kami menjual arang siap dibungkus seberat dua kilogram (kg) pada harga RM2. Biasanya arang kami dibeli oleh peniaga nasi kerabu, ayam dan daging bakar, roti tempayan, burger bakar, pizza arang dan lain-lain lagi.
"Setiap bulan kami mampu menghasilkan kira-kira 3,800kg arang. Malah arang keluarga kami turut memiliki pelanggan tetap di luar negeri ini seperti di Kuala Lumpur," katanya.
Menurutnya selain arang yang siap dibungkus, arang yang hancur dan kurang masak (dipanggil arang puting) dimasukkan ke dalam guni dan dijual pada harga RM25 satu guni seberat 20kg kepada pelanggan seperti penempa senjata serta pengusaha bunga orkid dan ros.
"Malah menariknya juga masih ada yang menggunakan arang untuk dijadikan 'api dian' semasa dalam pantang bersalin," katanya.
Pazuriatiayu akui ketika ini amat sukar mendapatkan bekalan kayu di sebalik permintaan tinggi arang yang diterima daripada pelanggan. -- BERNAMA

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !
#arang #paudin ismail #Kampung Bukit Mak Lipah Mahligai
;