4,000 langkah sehari kurangkan risiko kematian awal
Agensi
Ogos 10, 2023 08:45 MYT
Ogos 10, 2023 08:45 MYT
WARSAW: Kajian terbaharu menunjukkan jumlah pejalan kaki kurang daripada 5,000 langkah mungkin sudah mencukupi untuk mendapatkan manfaat kesihatan.
Memetik BBC, kajian dijalankan terhadap lebih 226,000 orang di seluruh dunia menunjukkan bahawa 4,000 langkah sudah mencukupi untuk mengurangkan risiko kematian awal disebabkan sebarang faktor.
Dalam pada itu, lebih daripada 2,300 langkah sudah mencukupi untuk memberi manfaat kepada jantung dan saluran darah.
Profesor Maciej Banach dari Universiti Lodz, Poland berkata, walaupun jumlah ubat-ubatan canggih untuk rawatan semakin bertambah, ia bukanlah satu-satunya penyelesaian.
"Saya percaya kita sepatutnya sentiasa menekankan bahawa perubahan gaya hidup, termasuk pemakanan dan senaman, yang menjadi 'pahlawan' (faktor) utama dalam analisis kami, mungkin setidaknya sama atau bahkan lebih berkesan dalam mengurangkan risiko kardiovaskular dan memanjangkan hayat," katanya.
Dalam masa sama, para penyelidik memaklumkan, semakin banyak aktiviti berjalan dilakukan, semakin banyak manfaat kesihatan yang dapat dilihat.
Sementara itu, setiap tambahan 1,000 langkah melebihi 4,000 akan mengurangkan risiko kematian awal sebanyak 15 peratus sehingga 20,000 langkah.
Pasukan penyelidik dari Universiti Perubatan Lodz dan Sekolah Perubatan Universiti Johns Hopkins di Amerika Syarikat mendapati, manfaat berjalan ini terpakai kepada semua jantina dan umur, tanpa mengira di mana mereka tinggal.
Walau bagaimanapun, manfaat terbesar dilihat dalam kalangan individu berusia di bawah 60 tahun.
Menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia, ketidakcukupan aktiviti fizikal menyebabkan 3.2 juta kematian setiap tahun iaitu punca keempat paling kerap berlaku di seluruh dunia.