38 tahun Koh 'ubati' segala jenis 'penyakit' beg

Bernama
Januari 1, 2017 13:54 MYT
Pemilik kedai Catherina Tailoring & Trading Koh Sin Hock, 68, membaik pulih beg sekolah yang dihantar Muhammad Shoutul Takhfif Shaharim, 11, (kiri) bersama abangnya Muhammad Shoutul Al Thaqif Shaharim, 12. - Foto Bernama
Menjadi kebiasaan apabila tiba sesi awal persekolahan, pelajar sekolah mahu mendapatkan beg baharu.
Namun, dengan harga barang semakin meningkat dan ibu bapa kurang berkemampuan, beg lama yang rosak perlu dibaiki dan diguna semula.
Justeru khidmat seorang warga emas Koh Sin Hock, 68, atau mesra dengan gelaran 'doktor beg' diperlukan. Dia mempunyai pengalaman selama 38 tahun 'mengubati' pelbagai jenis 'penyakit' beg terutamanya beg sekolah.
"Permintaan untuk membaiki beg akan meningkat bila hendak mula sesi persekolahan, terutama sekarang ini negara kita menghadapi ekonomi tidak menentu dan agak perlahan.
"Ramai pelanggan pilih untuk berjimat dan menaruh harapan tinggi kepada saya untuk menyelamatkan beg mereka yang telah rosak supaya boleh guna semula dan tidak beli baharu," katanya kepada Bernama.
Koh menjalankan perniagaan di dua premis, masing-masing terletak di Kampung Jawa di sini dikendalikannya sendiri dan di Bukit Piatu di sini dikendalikan isterinya Yong Yoon Yin serta anak sulung mereka Darrious Koh.
Koh yang juga bapa kepada lima orang anak itu berkata kerjaya sebagai tukang baiki beg dan tukang jahit itu dilihat mencabar dan memerlukan kesabaran tinggi.
Beliau berkata terdapat pelbagai jenis beg yang pernah dibaikinya iaitu daripada beg sekecil dompet sehingga ke bagasi bersaiz besar.
"Kebiasaannya, saya akan mencadangkan kepada pelanggan untuk membaiki mana-mana yang perlu bergantung kepada kerosakan dan bajet mereka kerana saya tahu kebanyakan daripada mereka datang kerana hendak menjimatkan wang.
"Sama ada beg murah ataupun beg berjenama mahal, saya akan menganggap itu beg saya sendiri ketika membaikinya agar hasilnya nanti dapat memberikan kepuasan kepada pelanggan," katanya.
Koh berkata antara kerosakan beg yang sering dibaikinya ialah beg berlubang, tali putus dan calar, malah selain membaiki beg, Koh turut memiliki kemahiran menjahit pakaian seperti jeans.
Seorang pelanggan setia Koh yang telah lebih 20 tahun menghantar begnya untuk dibaiki termasuk milik majikannya Wahid Abdul Rahman, 62, berkata harga yang ditawarkan Koh amat berpatutan.
"Selain itu, jahitannya yang kemas mendorong saya untuk terus menghantar beg sekiranya menghadapi sebarang kerosakan," katanya yang juga seorang pemandu.
Shahiran Zainal, 39, yang kali pertama menghantar beg untuk dibaiki berkata dia mengetahui mengenai premis Koh yang menjalankan perniagaan bermula 11 pagi hingga 4.30 petang itu melalui rakannya.
"Saya begitu berpuas hati dengan hasil kerjanya yang secara tidak langsung telah membantu menjimatkan kos kerana beg yang saya baiki ini bernilai lebih RM1,000.
"Di samping itu, beg yang telah siap dibaiki ini ibarat 'dilahirkan' semula dan kelihatan bagaikan beg baharu, seperti yang mula-mula dibeli dulu," katanya.
-- BERNAMA
#beg sekolah #doktor beg #Koh Sin Hock #sesi persekolahan
;