20,000 pengunjung dijangka hadir Port Fest 2023, himpun lebih 300 penggiat seni kreatif
Amirrul Rabbani
Ogos 16, 2023 12:31 MYT
Ogos 16, 2023 12:31 MYT
IPOH: Seramai 20,000 pengunjung dari dalam dan luar negeri dijangka akan menghadiri festival seni, Port Fest 2023 yang akan berlangsung di Dataran Ipoh, di sini, pada hujung minggu ini.
Pengurus Besar People Of Remarkable Talents (PORT), Nur Hanim Mohamed Khairuddin berkata, acara yang berlangsung selama dua hari bermula Sabtu itu akan menghimpunkan lebih daripada 300 penggiat seni kreatif.
Katanya, antara acara yang akan menjadi tumpuan kepada festival berkenaan adalah sesi demonstrasi lukisan grafiti, ‘Tembak Dinding 2.0’ yang akan dijayakan 16 orang pelukis seni grafiti dari dalam dan luar negara.
“Selain itu pengunjung juga boleh menyertai bengkel ‘Drink and Draw’ bersama pelukis komik Ben Wong anjuran kumpulan kartunis Sako Plus, pertandingan tarian ‘1 on 1 BBoy Battle’ oleh Blazin Squad, serta pameran dan pertandingan ‘Hotwheels dan Mainan oleh Kolek.
“Bagi para peminat motosikal pula, pameran motosikal chopper kustom ‘Iron Red’ oleh Rusty Factory yang baru memenangi hadiah ‘Best Fabrication’ di Art of Speed 2023 baru-baru ini akan turut dipamerkan.
“Selain itu, jenama-jenama motosikal lain seperti Harley Davidson, Triumph dan Royal Enfield akan turut memeriahkan segmen pameran pada festival ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambahnya, selain reruai jualan seni kreatif, makanan dan minuman serta pameran kenderaan klasik, Port Fest 2023 turut akan menampilkan persembahan konsert percuma oleh kumpulan-kumpulan muzik terkenal tanah air seperti XPDC, Gerhana Ska Cinta, Riddim Bois, Sekumpulan Orang Gila (SOG) dan sebagainya.
Katanya lagi, penganjuran acara yang mendapat kerjasama Pejabat Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri; Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Tourism Perak itu merupakan sebahagian daripada inisatif untuk mempromosikan Tahun Melawat Ipoh 2023 dan Tahun Melawat Perak 2024.
Ujar Nur Hanim, Port Fest 2023 akan dirasmikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada jam 4 petang, Ahad.
“Kami mengharapkan agar festival sebegini akan dapat mencetuskan semangat solidariti dalam kalangan peserta untuk mempergiatkan lagi penghasilan produk-produk seni kreatif yang berkualiti.
“Dinamika yang terbit hasil daripada gabungan pelbagai pemain industri kreatif ini akan mampu menjana impaknya yang tersendiri dan semestinya dapat melimpahkan pelbagai bentuk manfaat bagi masyarakat secara amnya,” katanya.