20,000 dijangka sertai Fit Malaysia di Rembau Ahad ini

Bernama
September 1, 2016 09:51 MYT
Fit Malaysia adalah satu program untuk meningkatkan kefahaman dalam aspek kecergasan dan pergerakan fizikal rakyat Malaysia. - Gambar fail
Seramai 20,000 orang dijangka menyertai program Fit Malaysia peringkat Negeri Sembilan 2016 anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sembilan di Dataran Rembau, Ahad ini.
Pengarah Belia dan Sukan negeri Azura Sarbin berkata objektif utama program berkenaan adalah untuk memastikan setiap lapisan masyarakat di seluruh negara berpeluang melibatkan diri dalam aktiviti kecergasan yang membawa manfaat dari aspek kesihatan dan perpaduan.
"Fit Malaysia adalah satu program untuk meningkatkan kefahaman dalam aspek kecergasan dan pergerakan fizikal rakyat Malaysia, untuk melakukan aktiviti kecergasan dan aktiviti sukan. Ia juga bertujuan untuk merangsang masyarakat menghayati konsep 'Sukan Untuk Semua' dengan menfokuskan kepada pembentukan budaya bersukan selari dengan slogan Ke Arah Malaysia Cergas, Sihat dan Bersatu.
"Secara tidak langsung program ini akan memperkukuhkan aspek kefahaman yang menjadi titik tolak pembentukan negara bersukan (sporting nation )," katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.
Katanya kejayaan penganjuran Fit Malaysia 2016 terletak kepada sokongan dan sambutan yang diberikan oleh peserta tanpa mengira kaum, jantina dan peringkat umur.
"Justeru itu, saya menyeru kepada semua rakyat Negeri Sembilan ini khususnya supaya hadir beramai-ramai memeriahkan Fit Malaysia 2016 peringkat Negeri Sembilan di padang Dataran Rembau pada Ahad ini.
"Perkara penting yang hendak dipesan di sini ialah jaga keselamatan diri dan ikuti peraturan yang telah ditetapkan sama ada dalam perjalanan atau semasa berada di tapak program itu
nanti.
"Kita menetapkan sasaran bilangan penyertaan Fit Malaysia tahun ini seramai 10,000 orang namun bagi Negeri Sembilan sendiri melalui Jawatankuasa Induk Fit Malaysia Negeri Sembilan telah menetapkan KPI yang lebih tinggi iaitu 20,000 orang akan terlibat di Fit Malaysia Peringkat Negeri Sembilan 2016," katanya.
Aktiviti utama program itu ialah acara larian (FM Run) dengan jarak sejauh 5km dan 10km (santai), berbasikal (FM Ride) sejauh 10km dan 30km (santai) serta aktiviti kecergasan fizikal seperti zumba, 'stick 2 stix', 'fit ball' dan 'line dance'.
Sementara aktiviti sampingan ialah aktiviti sukan/rekreasi/riadah yang bersesuaian seperti 'fitness challenge', 'martial arts', 'dummy props', 'mini obstacle run' serta 'modern & home gym'.
Turut diadakan ialah pameran oleh Institut Sukan Negara (ISN), Sekretariat Hari Sukan Negara, Sekretariat Sukan SEA 2017, Jabatan Kesihatan Negeri dan 'sport massage' serta jualan 'merchandise & healthy F&B.
Program itu dijangka akan dirasmikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
#acara sukan #fit malaysia #Jabatan Belia dan Sukan #kecergasan #Khairy Jamaluddin