13 pendaki mula cabaran kibar Jalur Gemilang di Banjaran Himalaya

Astro Awani
Februari 25, 2024 21:09 MYT
Program pendakian amal anjuran Summit Attack Resources (SAR) dengan kerjasama Kelab Kembara Kosmopolitan ini merupakan cetusan idea selebriti, Azhan Rani. - Kelab Kembara Kosmopolitan
SEPANG: Seramai 13 orang pendaki akan menggalas cabaran mengibar Jalur Gemilang di Banjaran Himalaya, Nepal bermula hari ini sehingga 13 Mac 2024.
Lima pendaki akan menawan puncak Gunung Island Peak setinggi 6,160 meter atau 20,210 kaki dari aras laut manakala lapan pendaki lagi melengkapkan misi ke Everest Base Camp (EBC) setinggi 5,364 meter atau 17,598 kaki daripada aras laut.
Program pendakian amal anjuran Summit Attack Resources (SAR) dengan kerjasama Kelab Kembara Kosmopolitan itu merupakan cetusan idea selebriti, Azhan Rani.
Objektif utama pendakian ini adalah untuk mengutip dana bagi membantu sebuah rumah kebajikan, Persatuan Kebajikan AHSANA Kuala Lumpur di Puchong yang menempatkan orang kelainan upaya (OKU) dan penghidap autism.
Selain Azhan, pendakian ke Island Peak akan diketuai pendaki berpengalaman dan Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa serta pendaki tunggal wanita, Zarina Abd Rahman.
Pendakian ke Island Peak selama 18 hari itu dijangka sangat mencabar kerana ia merupakan pendakian teknikal di gunung bersalji.
“Kekuatan fizikal terutamanya sihat tubuh badan dan pengalaman diperlukan untuk mendaki gunung setinggi ini.
“Begitu juga dengan kelengkapan serta peralatan khas diperlukan bagi memastikan pendaki sampai ke puncak dan turun dengan selamat,” kata Mohd Fakhrul Munir.
Selain lokasi pendakian yang jauh dan kos yang tinggi, antara cabaran lain yang akan ditempuh dalam misi ini ialah suhu yang rendah sehingga mencecah 25 darjah Celsius di bawah paras beku.
Situasi itu mendedahkan pendaki kepada masalah kekurangan oksigen yang disebabkan oleh faktor ketinggian, sekali gus berdepan risiko mengalami Akut Gunung atau Acute Mountain Sickness (AMS) dan masalah cuaca seperti ribut salji.
Bagaimanapun, pendaki dijangka mampu berdepan situasi sukar ini kerana mereka berpengalaman dan pernah mendaki sehingga ketinggian lebih 6,000 meter selain Gunung Kalapatthar dan EBC.
Majlis flag off yang diadakan di Ruang Legar Anjung Tinjau, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini cukup bermakna kerana dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohamad.
Nor Hisham juga merupakan seorang pendaki berpengalaman di dalam dan luar negara. Beliau hadir untuk menyerahkan bendera JBPM kepada Mohd Fakhrul Munir yang akan melakukan latihan di Island Peak untuk ke Gunung Everest dan Gunung K2 di Nepal tidak lama lagi.
Kehadiran Nor Hisham dijangka mampu menyuntik semangat pendaki-pendaki untuk merealisasikan misi Pendakian Amal SAR Ahsana Ke Island Peak & Everest Base Camp Bersama Azhan Rani 2024.
Penghargaan juga diberikan kepada barisan penaja yang turut sama dalam misi ini seperti UFL, Spin Malaysia, Marathon Bakers, Kak Lang D’Rimba, Kak Oya, Karat England Cafe, Brahims, Hillock Hulu Tamu, Pejabat Kedutaan Malaysia di Nepal dan rakan-rakan Media.
#Jalur Gemilang #AHSANA #Banjaran Himalaya #Summit Attack Resources SAR
;