12 tahun Tazar abadikan rasa cinta negara, hias kereta, laman dengan Jalur Gemilang

Aida Aziz
Ogos 30, 2023 10:20 MYT
Menurut Tazar, anggaran keseluruhan kos bagi menghias kereta dan laman sempena sambutan Hari Kebangsaan adalah sebanyak RM1,000. - Foto Astro AWANI
IPOH: "Aku bukanlah seorang perwira, gagah menghunus senjata, namun hati rela berjuang walau dengan cara sendiri demi cinta ini."
Demikian lirik lagu lantunan Allahyarham Sudirman Arshad yang menggambarkan semangat Tazar Alang Rahim, 63 tahun, dari Kampung Tasek, di sini, menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia dengan cara dan gaya tersendiri.
Sejak lebih 12 tahun yang lalu, menjelang tarikh 31 Ogos, kereta Proton Iswara Aeroback dan kawasan berdekatan gerai jualannya akan dihiasi dengan Jalur Gemilang, termasuk replika yang direka sendiri menggunakan barangan terpakai.
Merisik tentang bagaimana dia mula berminat menghias kereta dengan lebih 100 bendera Malaysia saban tahun, Tazar berkata minatnya itu bermula sejak dia berusia 30-an.
"Setiap tahun saya cuba tampilkan kelainan, kali ini saya buat replika kereta perisai dan helikopter kecil saja sebab kawasan pun sempit.
"Saya memang suka dengan seni kreatif sebegini. Dari kecil membawa ke tua. Ketika dulu, tidaklah seperti sekarang, hias kereta dan sebagainya.
"Sejak 12 tahun lalu, saya akan mula hias kereta dan laman dekat gerai ini dua bulan sebelum merdeka. Sebab semuanya saya lakukan sendiri, termasuk bina replika," katanya yang tidak asing dalam kalangan penduduk di bandar raya ini.
Ujarnya lagi, kerana keunikan keretanya yang dihiasi bendera Malaysia, dia sering dijemput ke beberapa sekolah bagi program khas sempena Hari Kebangsaan.
"Kereta itu memang jarang keluar kerana ia memang khusus saya guna untuk sambut merdeka, untuk kegunaan harian saya ada satu lagi kereta," katanya.
"Setiap kali menjelang ulang tahun kemerdekaan, saya mula pasang Jalur Gemilang di kereta, ramai yang berminat dan ambil gambar. Mereka juga ada tegur dan hon tanda bagi sokongan.
"Kalau di sekolah pula mereka jemput untuk sertai perarakan di sekolah tersebut, itu antara kenangan manis sepanjang 12 tahun saya lakukan perkara ini," katanya.
Jelas datuk kepada empat orang cucu ini lagi, anggaran kos bagi menghias kereta dan laman itu adalah sebanyak RM1,000.
#Hari Kebangsaan #Jalur Gemilang #hias kereta #perarakan
;