10 tip untuk ibu bapa tangani 'krisis' minggu pertama sesi persekolahan
Nursyazwani Saiful Sham
Disember 29, 2018 10:42 MYT
Disember 29, 2018 10:42 MYT
MUSIM cuti persekolahan 2018 sudah hampir ke penghujungnya.
Sesi persekolahan 2019 pula akan bermula seawal 2 Januari. Sebagai ibu bapa, sudahkah anda bersedia untuk memastikan anak-anak ada menempuhi ‘krisis’ minggu pertama sekolah?
Pasti ada ibu bapa yang ada pengalaman menghadapi ‘krisis’ seperti menangis, tidak mahu turun kereta, tidak mahu masuk kelas dan ada juga yang melakukan aksi-kasi pelik sebagai tanda protes.
Jangan risau, ini 10 tip buat ibu bapa untuk meredakan ‘krisis’ ini, terutamanya buat yang pertama kali akan membawa anak-anak ke sekolah Rabu ini;
Pastikan dapat tidur yang cukup
Ibu bapa dinasihatkan untuk mendidik anak-anak untuk mendapatkan tidur yang cukup dengan menyelaraskan waktu tidur lebih-lebih lagi beberapa minggu sebelum sesi persekolahan bermula.
Dengan tidur yang cukup, pasti anak anda tidak akan ‘berdrama’ pada awal pagi apabila dikejutkan untuk ke sekolah.
Ceritakan keseronokan bersekolah
Untuk memastikan anak-anak anda tidak gemuruh untuk mula bersekolah, ceritakan keseronokan bersekolah kepada mereka.
Berikan gambaran positif dengan menceritakan keseronokan dapat berjumpa rakan-rakan, dapat mempelajari perkara baharu dan dapat menyertai aktiviti menyeronokkan di sekolah.
Teman anak ke sekolah
Bagi ibu bapa yang pertama kali membawa anak-anak ke sekolah, temanlah mereka masuk ke kelas buat pertama kali.
Bukan itu sahaja, tunjukkan anak-anak anda di mana tempat-tempat yang akan mereka gunakan seperti tandas, kantin dan foyer agar mereka lebih mudah untuk ingat.
Beli barang sekolah baharu
Untuk naikkan ‘mood’ anak-anak ke sekolah, ibu bapa digalakkan membeli barangan keperluan sekolah baharu yang mereka minati.
Ini juga sebagai proses buat mereka belajar erti tanggungjawab untuk menjaga barangan sendiri dan pastikan ia tidak hilang.
Berbincang bersama anak-anak
Berbincang tentang perihal sekolah bersama anak-anak adalah salah satu langkah penting yang perlu anda lakukan bagi memastikan mereka seronok di sekolah.
Anda dinasihatkan untuk mengelak bertanyakan soalan yang asas, tetapi lebih spesifik seperti “Apakah perkara baharu yang dipelajari hari ini?” atau “Apa yang terjadi semasa waktu pelajaran Pendidikan Jasmani?”.
Bantu mereka lakukan kerja sekolah
Membantu anak-anak melakukan kerja-kerja sekolah mereka adalah salah satu cara untuk pastikan mereka terus bersemangat ke sekolah.
Sertai aktiviti anjuran sekolah
Ibu bapa juga dinasihatkan untuk meluangkan masa dengan menyertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah.
Ia sekaligus menunjukkan minat anda untuk bersama dengan anak-anak. Ia juga akan memberi peluang untuk anda berkenalan dengan
Peka dengan keadaan anak-anak
Sekiranya rutin anak-anak anda tiba-tiba bertukar selepas sudah mula persekolahan, mungkin mereka sedang alami kesukaran untuk menyesuaikan diri.
Cuba untuk bertanya dan membantu mereka agar mereka tidak rasa murung untuk sekolah.
Membaca sebagai amalan
Sama ada sebelum mula sesi persekolahan, semasa sesi persekolahan atau musim cuti sekolah, pastikan membaca dijadikan amalan.
Ini dapat membentuk perwatakan anak-anak untuk minat ke sekolah.
Sentiasa berkomunikasi dengan guru
Selain daripada berkomunikasi dengan anak-anak, hubungan dengan guru juga perlu diberi perhatian.
Ia boleh membantu ibu bapa untuk memahami karakter anak-anak di dalam kelas selain memahami emosi mereka di sekolah dan hubungan bersama rakan-rakan.