10 perkara janda dan duda enggan ulangi jika naik pelamin lagi ...
Azyyati Ahmad
September 19, 2018 18:35 MYT
September 19, 2018 18:35 MYT
ORANG kata perkahwinan itu umpama satu perjudian.
Bagi yang sudah melalui satu fasa ini ada yang menganggap ia merugikan dan semestinya mereka mahu fasa yang baharu menjadi lebih baik dari yang sebelumnya.
Perasaan takut akan kesilapan yang sama berlaku lagi menyebabkan ada antara mereka yang memegang status janda atau duda ini tidak mahu berkahwin lagi.
Namun, adalah lumrah bila setiap manusia pasti mahu hidup berpasangan agar berteman dan ada kawan untuk susah dan senang.
Astro AWANI sempat bertanyakan kepada beberapa individu tentang apa yang mereka mahukan atau kesilapan yang enggan diulangi sekiranya berkahwin lagi.
1. Jangan jadi terlalu berdikari. Pembahagian tugas dan kerjasama sangat penting dalam perkahwinan agar suami dan isteri saling rasa bergantung dan memerlukan antara satu sama lain.
2. Cari pasangan yang ‘klik’ dalam berkomunikasi. Bukan hanya saling memahami, tetapi gaya dan cara fikiran yang seiring antara kunci dalam mengekalkan komunikasi yang menarik antara suami dan isteri, walaupun ada perbezaan pendapat.
3. Tidak gaduh lama-lama. Ambil masa untuk senyap dan cari ruang sendiri untuk redakan kemarahan, sebelum cari waktu yang sesuai untuk berbincang dalam keadaan rasional.
4. Berubah adalah perkataan yang besar. Jangan berkahwin sekiranya bakal suami atau isteri tidak boleh menerima kekurangan diri masing-masing. Dalam sesebuah perkahwinan adalah penting untuk saling melengkapi kekurangan dan kelebihan masing-masing.
5. Tidak biarkan perkahwinan menjadi ‘bosan’. Sentiasa cari idea dan masa dalam memekarkan hubungan, seperti hobi baru, bercuti, masak bersama dan aktiviti yang boleh dilakukan berdua untuk timbulkan 'spark' yang berpanjangan.
6. Tidak fikir kahwin itu akan sentiasa bahagia, maka perlu juga bersedia untuk berdepan cabaran kecil dan besar dalam perkahwinan contohnya, cabaran sekiranya pasangan sakit, bayi baru lahir tidak mahu tidur, kewangan dan sebagainya. Ini agar pasangan fokus untuk cari penyelesaian yang lebih baik, tidak menyimpan emosi dan tidak bertindak menyalahkan antara satu sama lain.
7. Mahu pasangan menerima sejarah kehidupan silam, tentang perkahwinan terdahulu dan anak-anak tiri yang akan dikasihi seperti anak sendiri.
8. Tidak iri hati dengan pasangan sendiri. Sentiasa menyokong pencapaian mereka dalam kerjaya dan kehidupan. Kata-kata semangat dari orang yang dicintai adalah sokongan moral yang sangat bernilai dalam sesebuah perhubungan.
9. Tidak mengambil kesempatan dari segala segi seperti wang, emosi dan kelemahan pasangan dalam perhubungan. Kejujuran itu penting.
10. Sentiasa pastikan buat simpanan. Ini penting sekiranya apa-apa terjadi di masa hadapan terhadap keluarga dan diri sendiri.