10 perkara anda perlu tahu tentang sayakenahack.com

Syafique Shuib
November 17, 2017 14:44 MYT
Laman itu mula popular pada awal Khamis setelah dilaporkan menerusi media arus perdana dan disekat oleh SKMM pada hari yang sama. - Gambar fail
Laman sayakenahack.com terus menjadi trending pada awal Khamis setelah ia membenarkan orang ramai semak status jika data peribadi mereka telah dibocorkan.
Sebelum portal ini diarahkan untuk disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengikut Akta Perlindungan Peribadi 2010, portal itu membenarkan pelawat menggunakan nombor kad pengenalan mereka untuk menyemak status.
Menakutkan ... apatah lagi apabila modus operandinya agak mencurigakan. Benar ia tidak mendedahkan maklumat secara terperinci seperti alamat, ia mendedahkan empat angka terakhir nomber telefon pengguna. Namun, ia kebocoran maklumat yang melibatkan 46 juta peribadi!
BACA: MCMC sekat laman SayaKenaHack.com
BACA: 46 juta data peribadi bocor: Polis kenal pasti sumber
Susulan itu, laman itu disekat setelah terdapat permohonan daripada Jabatan Perlindungan Data Peribadi.
Berikut ada 10 perkara yang anda perlu tahu tentang SayaKenaHack.com:
  1. Laman web SayaKenaHack.com dibina oleh blogger teknologi Keith Rozario.
  2. Laman itu beroperasi pada Ahad dan mula popular pada Khamis setelah dilaporkan oleh media arus perdana.
  3. Ia disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) atau MCMC pada malam Khamis.
  4. Sekatan dibuat selepas SKMM mendapat permohonan daripada Jabatan Perlindungan Data Peribadi.
  5. Laman itu mengumpulkan pangkalan data pelanggan syarikat telekomunikasi yang bocor untuk tujuan pelanggan menyemak sama ada data peribadi telah dibocorkan.
  6. Pengguna boleh semak status dengan hanya menggunakan nombor Kad Pengenalan mereka.
  7. Ia tidak mendedahkan maklumat peribadi seperti alamat dan ia hanya mendedahkan empat angka terakhir nombor telefon anda.
  8. Rozario, dalam blognya berkata beliau memuat naik data daripada syarikat telekomunikasi Maxis, Digi, Celcom and UMobile dan mempunyai cadangan untuk memuat naik data dari syarikat telekomunikasi yang lain.
  9. Rozario dalam laman blognya berkata beliau tidak membeli data itu. Sebaliknya, beliau berkata data itu sudah berada di atas talian dan mereka yang peka internet dapat mencari data berkenaan.
  10. Beliau memberitahu portal LowYat.net bahawa beliau tidak dihubungi oleh SKMM untuk dimaklumkan mengapa laman webnya disekat.
#bocor #celcom #Digi #Jabatan Perlindungan Data Peribadi #kad pengenalan #keith rozario #lowyat net #Malaysia #Maxis #MCMC #polis #sayakenahack com #SKMM #Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia #telekomunikasi #UMobile
;