10 negara paling aman di dunia

Shamil Hizamie
Mei 29, 2015 18:31 MYT
Ketahui 10 negara yang diiktiraf paling selamat berdasarkan laporan Global Peace Index.
Setiap tahun Institute for Economics and Peace (IEP) akan menyediakan laporan Global Peace Index (GPI) yang bertujuan mengukur kadar keamanan sesebuah negara berdasarkan faktor dalaman dan luaran.
Walaupun pelbagai masalah dan pergolakan berlaku di segenap pelusuk dunia, kajian yang bermula pada tahun 2007 itu tetap akan menyenaraikan 20 negara yang dianggap paling aman.
Bimbang keselamatan diri serta keluarga sekiranya pergi bercuti di luar negara? Lawatilah 10 negara yang diiktiraf paling selamat ini:
10 - Norway
Meskipun pernah dirundung kes pengeboman beramai-ramai oleh Anders Behring Breivik pada tahun 2011, itu tidak menjadikan Norway tidak selamat dilawati.
Foto - AFP Relaxnews
Negara Scandinavia ini mencatat tahap pembangunan manusia tertinggi di dunia. Kerajaan Oslo pula sentiasa menitikberatkan hal ehwal rakyat dan negara dalam apa cara sekalipun.
9 - Belgium
Terletak di tengah benua Eropah, Belgium merupakan negara pusat utama European Union dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). Kes pembunuhan dan jenayah di Belgium adalah amat rendah sungguh pun ditimpa krisis kerajaan sekitar tahun 2008 hingga 2011.
Foto - AFP Relaxnews
Bandaraya zaman pertengahan, dewan bandar indah, istana megah, dan keindahan alam semula jadi menjadi tarikan pelancong.
8 - Jepun
Tidak dinafikan negara matahari terbit ini amat kaya dengan keindahan budaya. Sejak perang dunia kedua berakhir, Jepun berjaya mengekalkan keamanan ekoran kadar jenayah yang stabil kesan dari penegasan kuasa keselamatan dalaman.
Foto - AFP Relaxnews
Konflik dalaman yang terkawal menjurus kepada kemajuan ekonomi sehingga menjadi kuasa ekonomi ketiga terbesar di dunia.
6 - Finland
Meskipun sedikit lambat melaksanakan sistem industri, Finland berjaya menjadi sebuah negara dengan pendapatan per kapita tertinggi di dunia.
Foto - AFP Relaxnews
Negara yang terletak di utara benua Eropah ini juga sentiasa menitikberatkan taraf prestasi negara, termasuk pendidikan, daya saing ekonomi, kebebasan awam, kualiti hidup, dan pembangunan manusia.
5 - Switzerland
Menurut IEP, Switzerland sentiasa memelihara sistem pemerintahan serta budayanya. Negara yang mempunyai markah tertinggi dalam kestabilan politik ini turut mencatatkan rekod terendah dalam kadar jenayah.
Foto - AFP Relaxnews
Walaupun tampil sebagai satu kuasa neutral di dunia, Switzerland tetap mengekalkan hubungan diplomatik dengan banyak negara lain.
4 - New Zealand
Berikutan lokasinya yang sedikit terpencil, negara yang terletak di barat daya Lautan Pasifik ini memelihara biodiversiti alam semulajadi yang meliputi flora dan fauna. Budaya kaum pribumi Māori dan peneroka awal British pula menjadi amalan penduduknya.
Foto - AFP Relaxnews
New Zealand adalah ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Negara-Negara Komanwel, ANZUS, Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan, Forum Kepulauan Pasifik dan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik.
3 - Austria
Bermula dari dinasti Habsburg, melalui fasa Prusia dan berakhirnya pendudukan Anschluss, negara di pertengahan Eropah ini dahulunya tidak lekang dek masalah. Sementelah bergelar sebuah negara bebas pada 1955, Austria kian berusaha memperbaiki negara secara keseluruhan.
Foto - AFP Relaxnews
Menurut IMF, Austria kini berada pada tangga ke-13 paling kaya di dunia. Justeru, berjaya membangunkan taraf hidup sehingga menjadi yang terbaik di dunia.
2 - Denmark
Denmark menduduki tangga kedua dalam senarai negara paling aman di dunia kerana ia benar-benar selamat untuk didiami.
Foto - AFP Relaxnews
Masyarakat negara ini tidak suka mencampur tangan dalam konflik melibatkan keganasan. Mereka lebih gemar menumpukan perhatian dalam bidang ekonomi. Elok juga mengamalkan prinsip ‘jaga tepi kain sendiri’ bukan?
1 - Iceland
Negara yang terkenal dengan glasier dan gunung berapi ini mempunyai prinsip untuk menjauhkan diri dari sebarang konflik dunia.
Foto - AFP Relaxnews
Jarang sekali Iceland dilanda kontroversi dan menjadi bual bicara penduduk di seluruh dunia dalam laman sesawang. Pelancong gemar menjadikan ibukota Iceland iaitu Reykjavik sebagai destinasi percutian.
#Global Peace Index #GPI #IEP #Jepun #negara aman #peace
;