10 busana milik mendiang Puteri Diana dilelong
AFP RELAXNEWS
Februari 21, 2013 19:43 MYT
Februari 21, 2013 19:43 MYT
Sebanyak 10 busana milik mendiang Puteri Diana, termasuk gaun yang dipakainya ketika menari bersama John Travolta akan dijual di jualan lelong yang akan diadakan di London.
Koleksi Puteri Diana akan dilelong pada 19 Mac ini dan dijangka akan mengumpul sekurang-kurangnya £600,000 (RM2.8 juta), kata jurucakap Pusat Lelong Kerry Taylor kepada pemberita.
“Sesetengah gaun yang dilelong telah dipakai mendiang di dalam lawatan rasmi ke negara seperti Austria, Australia, Brazil, India, Korea Selatan dan Amerika Syarikat” katanya lagi
Antara koleksi yang dilelong termasuklah, gaun baldu biru ‘midnight’ rekaan Victor Edelstein yang dipakai Diana pada tahun 1985 dalam acara makan malam di Rumah Putih, ketika itu mendiang menari bersama Travolta.
“Paling menarik, gaun baldu hijau yang mempunyai cetakan tangan kecil dikainnya. Cetakan tangan itu mungkin kepunyaan salah seorang putera?” tambah Kerry lagi.
Diana yang pernah menjadi ikon fesyen dan terkenal dengan kerja amalnya telah berkahwin dengan Putera Charles pada tahun 1981. Mereka telah dikurniakan dua anak, William dan Harry, namun bercerai pada tahun 1996.
Sebanyak 10 busana tersebut sebenarnya telah pun dijual oleh mendiang sendiri dalam acara lelong amal di New York pada Jun 1997, dua bulan sebelum mendiang meninggal dunia.