Tahu politik tempatan? Sahut cabaran PRU Trivia!

Syed Farradino Omar
April 5, 2013 20:44 MYT
Sejauh manakah rakyat Malaysia, yang kebanyakannya pantang disebut hal politik pasti ada pendapatnya, benar-benar tahu tentang selok belok proses pengundian dan latar belakang politik di negara kita ini?
Premisnya amat mudah; untuk menjelajah seluruh pelusuk tanah air dan mencari individu-individu yang berani tampil menguji pengetahuan mereka tentang pilihan raya dan politik tempatan di dalam program unik terbitan Astro AWANI, PRU Trivia.
Kami bergerak lima sekawan di dalam kenderaan SUV ihsan Chevrolet iaitu Captiva. Saya selaku hos dan penerbit, ditemani dua orang jurukamera, seorang penerbit bersama dan pemandu. Penjelajahan mengambil masa sekitar dua minggu. Setiap negeri yang dituju, kami memilih satu lokasi yang popular dengan penduduk setempat dan ‘pacak kamera’, menunggu jika ada yang termakan umpan yang ditawarkan sebagai ganjaran berkongsi beberapa minit menjawab soalan-soalan yang disediakan.
Ganjarannya lumayan. Terima kasih kepada penaja kami Air Asia X dan Canon, kami mampu menawarkan hadiah-hadiah menarik seperti tiket penerbangan ke China, India, Australia dan Jepun serta kamera digital terkini.
Destinasi pertama kami ialah Terminal One, Seremban. Perkara pertama yang kami sedar awal dalam pengembaraan kami ini ialah tidak kira betapa menariknya ganjaran yang ditawarkan, orang ramai pecut lari kata segan apabila mereka melihat kamera di depan muka mereka. Pemalu rata-rata rakyat Malaysia ini! Namun, setelah dipujuk, dan membuktikan soalan yang ditanya tidaklah sesukar yang dijangkakan (sebagai contoh: “Siapakah Perdana Menteri Malaysia yang ke-empat?) barulah ada seorang dua yang berani mencuba nasib.
Tetapi nasib bukanlah faktor utama ganjaran yang kami bawa mudah melayang dari tangan kami dan terus ke saku pemenang. Dengan bangganya saya boleh mengatakan ramai yang di kalangan Aminah, Ah Seng dan Apoo yang kami temui mempunyai pengetahuan yang agak luas tentang politik Malaysia.
Memang banyak soalan mudah yang ditanyakan tetapi ada juga soalan sukar. Anda tahu “Dimanakah letaknya Ibu Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya antara tahun 1957 hingga 1978?” Soalan itu mudah dijawab salah seorang peserta yang ditemui. (Jika anda tidak tahu atau lupa, jawapannya ialah Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur.)
Dari Seremban ke Melaka dan kemudian Johor Bahru, seterusnya Kuantan, Kuala Terengganu dan Kota Bahru, diikuti Ipoh, George Town, Alor Setar dan Kangar, saya dan rakan-rakan cukup gembira melayan telatah orang-orang yang kami temui dan pada masa yang sama kagum dengan pengetahuan yang mereka ada.
Di Pasar Siti Khadijah, Kelantan, peserta yang mencuba nasib, rakan setugas Mekna, sempat meminta bantuan rakan penjaja di sekeliling apabila ditanya soalan yang agak sukar. Dengan loghat Kelantan yang pekat, pecah perut kami dibuatnya!
Di Alor Setar pula, kegembiraan Mami Jora meraih kemenangan dan sekaligus membawa pulang kamera digital Canon dikongsi bersama ‘pesaingnya’ dengan menghadiahkan sepasang kain pelikat dari gedungnya sendiri. “Menang bersama”, katanya!
Pengalaman di Borneo tak kurang hebatnya. Di Kuching, wakil orang Penan yang menjadi peserta memberi amaran akan menyumpit saya jika soalannya terlalu sukar. Dan di Sabah pula, keindahan lautan biru negeri di bawah bayu itu cukup memukau, satu lagi aspek menarik melakukan program ini iaitu mengenali dengan lebih intim keindahan negara kita yang dikasihi ini.
Tiga destinasi terakhir bagi PRU Trivia ialah Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor. Sesudah sahaja selesai mengucapkan ‘selamat tinggal’ kali terakhir di hadapan Dataran Merdeka, kami sepasukan mengimbas kembali detik-detik sepanjang penggambaran program ini dengan perasaan bangga dan gembira berjaya menghasilkan satu produk baru untuk meningkatkan pengetahuan dan menarik minat semua tentang tanggungjawab setiap rakyat Malaysia iaitu mengundi.
Saksikan PRU Trivia yang bersiaran setiap hari pada jam 9.30 malam, hanya di saluran 501 Astro AWANI.
#AirAsia #Chevrolet #pilihan raya #PRU13 #Trivia PRU
;