PRU13: Nilai undi ibarat emas kali ini

Tan Su Lin
April 22, 2013 10:15 MYT
Beberapa orang gadis sedang melihat melalui paparan kaca. Seorang wanita mencuba seutas rantai tangan emas, rakannya pula mengangguk tanda setuju.
“Saya tidak gemar bergambar. Jangan rakam gambar saya,” kata lelaki pertengahan umur di belakang kaunter.
“Jangan risau pak cik, pak cik nampak baik sahaja,” saya berkata menggunakan pertuturan Mandarin yang tidak lancar cuba memujuk Encik Liang ditemuramah menggunakan kamera.
“Saya cuma ingin tahu apa yang dimahukan penduduk Sandakan terutamanya kaum Cina,” saya mencuba nasib.
Selepas beberapa cubaan, kami hanya dapat merakamkan gambar dia melakukan tugasnya sebagai tukang emas.
Kedai Emas Kaw San III terletak di tengah Bandar Lila di Sandakan. Satu diantara beberapa kedai emas yang terdapat di situ.
“Kami telah menjalankan perniagaan selama tiga generasi,” kata Liang Bing Koon yang akhirnya setuju untuk ditemubual, dengan syarat tidak dirakam.
Dia berkata dia tidak boleh bertutur Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu dengan baik.
“Setakat ini tiada masalah menjalankan perniagaan di sini. Perniagaan berjalan baik,” dia berkata sambil membetulkan kedudukan cermin matanya.
“Jadi, adakah pak cik akan keluar mengundi nanti?” saya bertanya.
Dia hanya mengangguk kepalanya.
“Tidak berminat,” dia menjawab dengan hambar.
“Sekiranya pak cik perlu mengundi. Siapa yang akan dipilih?” saya bertanya untuk cuba mendapatkan jawapan kepada mitos yang mengatakan kaum Cina terutamanya di kawasan bandar akan mengundi pembangkang.
“Saya akan mengundi BN demi kestabilan,” dia menjawab selepas berfikir sejenak.
“Untuk menjalankan perniagaan memerlukan suasana yang aman dan stabil. Tanpa kestabilan perniagaan akan terjejas,” dia menambah.
“Saya fikir kebanyakan kaum Cina akan memilih DAP atau SAPP bukan?” saya bertanya.
“Mungkin itu pilihan peribadi mereka?” katanya yang merenung menerusi cermin matanya yang hampir jatuh.
“Boleh saya mengambil gambar? Saya menulis untuk laman web dan pak cik tidak mahu ditemuramah menggunakan kamera,”.
Dia akhirnya bersetuju tetapi dengan syarat gambarnya diambil bersama dua orang pekerja wanitanya.
Jelas sekali dia tidak gemar bergambar.
Pengundi kaum Cina terdiri daripada 53% dari pengundi di Sandakan. Sekiranya mereka semua keluar mengundi , mampu membawa perubahan besar.
Seperti emas di dalam kedai emas ini, undi mereka sangat bernilai.
Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk VK Liew mempertahankan kerusi parlimennya di Sandakan. Dia menang dengan majoriti tipis dengan hanya 176 undi pada 2008.
Di bawah parlimen Sandakan pula terdapat dua kerusi negeri iaitu Tanjong Papat dan Elopura, yang dimenangi Parti Progresif Sabah (SAPP) yang berada di bawah Barisan Nasional (BN) sehingga mereka menarik diri dari BN dalam pilihan raya sebelum ini.
“Berapa harga emas di sini?” saya bertanya kepada Pakcik Liang.
Dia menunjukkan harga emas untuk setiap gram yang dipaparkan, “RM170”
“Wow, harga di Kuala Lumpur telah jatuh kepada RM135 segram!” saya berkata.
“Harga emas di sini masih tinggi,” dia menjawab lebih bersemangat berbanding apabila doajak berbicara tentang pilihan raya.
#BN #GE-13 #GE13 #LDP #PRU-13 #PRU13 #SAPP
;