Konsep kesederhanaan wajar diperkasakan

Astro Awani
Mei 18, 2013 14:20 MYT
Oleh Matthew Chan
KETIKA di bangku sekolah dahulu, kita pernah diajar oleh guru-guru sekolah supaya bersikap sederhana.
Kesederhanaan bukan sahaja dalam perlakuan bahkan juga tutur kata serta pergaulan seharian dengan ahli keluarga, rakan taulan dan juga rakan di tempat kerja.
Malah sikap kesederhanaan itu merupakan sikap terpuji yang dituntut dalam setiap agama. Kesederhanaan mengajar seseorang untuk tidak mudah lupa diri, mengawal emosi dan sentiasa bersiap-siaga untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan yang mendatang.
Dalam konteks kenegaraan pula, konsep kesederhanaan merupakan tonggak utama kepada kestabilan Malaysia sejak sekian lama. Kesederhanaan dalam semua segi membolehkan rakyat berbilang kaum di negara ini untuk hidup dengan harmoni tanpa sebarang syak-wasangka. Masing-masing bebas menganut agama, mengamal budaya masing-masing serta menggunakan bahasa ibunda mereka.
Kemampuan inilah yang menjadikan Malaysia sering dicemburui oleh banyak negara di seantero dunia. Malah pernah satu ketika dahulu, Malaysia menjadi teladan kepada dunia dan banyak negara yang berminat untuk mendalami rahsia Malaysia menguruskan hubungan kaum yang kompleks.
Dalam keghairahan untuk mengejar pembangunan dan kekayaan material, konsep kesederhanaan yang menjadi tunjang dalam kalangan rakyat Malaysia selama ini, kian luntur.
Kebelakangan ini, ada sahaja isu-isu sensitif dibangkitkan dengan tujuan untuk mencetus kemarahan pihak lain. Daripada golongan anarkis yang mahu memporak-perandakan negara kepada kumpulan nasionalis yang cuba mempertikaikan kesetiaan sesebuah kaum hanya kerana tidak menyokong kerajaan pemerintah – semuanya memperlihatkan satu trend yang cukup membimbangkan.
Atas nama demokrasi dan keterbukaan, bermacam-macam ugutan malah amaran diberikan tanpa memikirkan kemudaratan yang bakal tercetus daripada tindakannya itu. Lebih mendukacitakan, ada juga dalam kalangan rakyat yang sanggup bertindak di luar batasan semata-mata kerana marah terhadap pihak berkuasa.
Disebabkan kemarahan yang meluap-luap terhadap pihak berkuasa, pelbagai paparan yang kurang sopan dimuat naik dalam laman sosial tanpa mengambil kira kesannya. Biarpun bukan semua maklumat yang dimuat naik adalah tulen dan benar, namun sudah wujud kecenderungan dalam kalangan rakyat untuk mempercayainya secara membuta-tuli.
Mereka seolah-olah sudah tidak gentar dengan sistem perundangan negara. Fikiran mereka diselubungi dengan kemarahan meluap sehingga bertindak di luar batasan.
Tetapi apakah ini sikap rakyat Malaysia yang kita kenal selama ini? Dimanakah perginya budi pekerti, kesantunan serta kesederhanaan yang wujud dalam diri setiap rakyat Malaysia?
Yang pastinya, pemikiran ekstrem tidak seharusnya mendapat tempat dalam masyarakat kita. Ia juga tidak boleh dibiarkan bercambah ke satu tahap yang tidak terkawal umpama virus yang menular.
Kegagalan untuk membanterasnya hanya bermakna keselamatan negara bakal tergugat. Dalam sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia, sebarang insiden ekstrem boleh mencetuskan impak yang cukup dahsyat jika tidak ditangani dengan bijak.
Tentunya kita tidak mahu melihat peristiwa 13 Mei berulang di negara kita. Tentunya juga kita tidak mahu peristiwa rampasan senjata oleh sekumpulan ajaran sesat berulang di Malaysia. Kita juga tidak mahu melihat masyarakat hidup dalam ketakutan kerana ancaman pihak lain. Paling signifikan, kita juga tidak mahu melihat Malaysia menjadi sarang percambahan ideologi ekstremisme.
Justeru, adalah penting jika agenda pembangunan negara kembali berpaksi kepada prinsip kesederhanaan dan wasatiyyah. Hanya prinsip ‘kesederhanaan’ mampu membawa kembali Malaysia ke landasan yang sebenar.
Pepatah Inggeris ada mengatakan “Kota Rom tidak dibina dalam sehari.” Ada baiknya jika pepatah tersebut dijadikan peringatan kepada kita semua. Sesungguhnya, perpaduan dan keharmonian negara memakan masa untuk dipupuk namun ia boleh musnah dalam sekelip mata.
Pandangan ini merupakan pandangan peribadi penulis.
#guru #kesederhanaan #matthew chan
;