"Inilah Kapit"

Khairunnisa Kasnoon
Mei 22, 2013 13:56 MYT
“Wow, macam bandar!”
Itu reaksi saya ketika menjejakkan kaki di Kapit, salah sebuah daerah di kawasan pedalaman Sarawak. Perasaan kagum terus menyelubungi diri, walaupun terpencil di pedalaman, namun keadaan di Kapit tidak seperti yang disangka.
Kapit tidak mundur.
Segalanya ada di sini - kedai runcit, hospital, sekolah, bekalan elektrik dan air, pejabat kerajaan, hotel dan Astro.
Tujuan utama ke Kapit adalah untuk membuat liputan sempena Hari Guru, melihat bagaimana guru di kawasan pedalaman mengharungi kehidupan harian mereka demi mendidik anak bangsa.
Perjalanan saya bersama jurukamera, Ab Uzza Latiff cukup mencabar buat kami yang pertama kali bertandang ke Kapit.
Kami terpaksa mengharungi perjalanan menggunakan pengangkutan air selama tiga jam merentasi Sungai Batang Rajang dari Sibu ke Kapit. – Pengalaman cukup bermakna kerana sungai berkenaan popular dengan sang buaya yang menjadi penghuni tetap sungai berkenaan.
Penduduk tempatan bergantung 100 peratus kepada pengangkutan air untuk sampai ke Kapit, sesuai dengan gelarannya- “Pulau Dalam Pulau”.
Pendidikan
Sebaik tiba di SMK Selirik saya terus bertanya kepada guru di sana, bagaimana dia mengharungi kehidupan harian di sini.
"Tiada siapa pun boleh terima untuk duduk jauh terpencil, apatah lagi di kawasan yang begitu asing” kata Cikgu Farah Najihah yang berasal dari Semenanjung Malaysia.
“Tapi atas dasar tanggungjawab untuk mendidik anak bangsa, saya kuatkan juga semangat untuk terus mengajar disini. Lama-kelamaan saya sudah serasi, lagipun apa yang diperlukan ada di sini (Kapit)" katanya lagi.
Tambah Cikgu Farah, cabaran guru di Kapit tidak terhad kepada faktor muka bumi sahaja. Masalah komunikasi, perbezaan budaya dan agama juga merupakan antara cabaran mereka dalam mencurahkan ilmu.
Walaupun berada di kawasan pedalaman dan mempunyai kelengkapan ala kadar, namun pencapaian pelajar di Kapit boleh dibanggakan.
"Allhamdulillah. Sekarang tak macam dulu. 19 tahun saya mengajar di sini, banyak perubahan yang saya lihat,"jelas Cikgu Azlinda yang merupakan guru Penolong Kanan di SMK Selirik.
"Dari PMR, SPM, keputusan mereka boleh dibanggakan. Malah ada yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti, "tambah beliau lagi.
Namun jelasnya, masih banyak yang perlu beri kepada anak-anak Kapit ini untuk survival mereka di masa depan yang kian mencabar.
Masa depan
Kedudukan Kapit yang terletak sempadan Kalimantan membuatkan daerah ini berpotensi besar untuk dimajukan.
Keindahan alam semuja jadi dan taburan rumah panjang yang berselerak menambah potensi Kapit untuk dijadikan pusat pelancongan negara.
Kerajaan negeri Sarawak telah melabur jutaan ringit untuk membangunkan Kapit. Malah melalui peruntukan fasa pertama bernilai RM 90 juta, lebih 50 kilometer(km) jalan dari Sibu-Kanowit telah siap dibina.
Pembangunan insfrastruktur ini telah mengubah pola kehidupan masyarakat disini.
Jika dahulu penduduk di Ulu Yong terpaksa menggunakan perahu untuk berulang-alik ke bandar Kapit, namun kini mereka hanya memerlukan masa tidak sampai satu jam dengan adanya laluan darat.
Transformasi ini secara tidak langsung merangsang kegiatan sosio-ekonomi sekaligus menambah pendapatan penduduk.
Ia juga dilihat bertepatan dengan manifesto tambahan Barisan Nasional Sarawak iaitu melaksanakan Transformasi Luar Bandar.
Ahli Parlimen Kapit, Datuk Alexender Linggi pastinya mengalas tugas berat dalam meneruskan agenda transformasi ini. Pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, dilihat sebagai bonus buat Alexander untuk memajukan tiga daerah pentadbirannya – Kapit, Song dan Belaga.
Namun segala kemajuan dan pembangunan tidak bererti, jika modal insan yang mencukupi tidak dapat disediakan oleh para pendidik.
Satu harapan Cikgu Azlinda, mahu pelajarnya didedahkan dengan cabaran sebenar.
“They need to survive in the real world. Competition almost none, mereka tidak kisah orang ni pandai atau tidak. Bagi mereka ada orang pandai dah kira memadai. Mereka tidak ada persaingan, saya rasa mereka perlu bersaing lebih lagi. Persaingan dan pendedahan itu penting,” katanya.
Kepada Yang Berhormat, bantulah warga Kapit mencapai impian mereka; dan percayalah, jasa anda akan dikenang hingga hujung nyawa.
#Alexender Linggi #Barisan Nasional #Kapit #pembangunan #Sarawak
;