Cari calon enjin Ferrari
Wan Syamsul Amly
April 12, 2013 15:25 MYT
April 12, 2013 15:25 MYT
BAGI saya, memiliki sebuah kereta antik merupakan satu kebanggaan. Untuk ahli kelab kereta lama, mereka dikira hebat dan gah jika memiliki sesebuah model kereta yang berusia lebih 30 atau 40 tahun -- lebih teruja jika kenderaan mereka itu dalam keadaan seperti kereta baharu.
Lazimnya ahli kelab kereta-kereta lama ini akan berkumpul pada hujung minggu dan bertukar-tukar pendapat mengenai penjagaan kereta terutama enjin, membeli atau menukar aksesori selain berbincang masalah lazim yang 'dihidapi' kenderaan mereka.
Biasalah, barang lama mesti akan ada sedikit masalah.
Menjelang hari penamaan calon Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 ini, izinkan saya samakan bakal-bakal calon berusia seperti kereta lama juga.
Calon yang boleh saya gelar veteran ini tidak dinafikan mempunyai peminat yang tersendiri namun harus diingat, apakah tenaga atau idea golongan ini dapat disamakan dengan mereka yang lebih muda untuk menggalas harapan parti menang dalam pilihan raya?
Saya bukan hendak mempertikai kemampuan mereka tetapi kehadiran orang lama dilihat lebih terarah untuk jadi ikon, idola atau rujukan golongan muda yang lebih layak untuk menggerakkan janji-janji parti.
Lebih elok mereka ini jadi penasihat, berkongsi pengalaman untuk mengukuhkan parti secara keseluruhan dan memastikan parti sentiasa relevan untuk masyarakat. Bukankah nilai-nilai murni menekankan pentingnya menghormati orang tua.
Kerana itu, banyak clue sudah diberi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu semua ahli Barisan Nasional (BN) memberikan sepenuh sokongan kepada calon-calon yang akan diumum pada bila-bila masa sahaja.
Saya dapat rasa akan ada kejutan daripada pengumuman itu. Barisan calon itu pasti majoritinya nama-nama muda dan segar yang sekaligus menjadi enjin berkuasa tinggi yang bakal menggerakkan parti ke tahap maksimum.
Semua kena ingat, itu juga salah satu program transformasi Najib yang boleh menarik minat rakyat kepada parti.
Mungkin Najib nampak perlunya 'enjin-enjin' kuat dan bertenaga yang boleh membawa parti ke dimensi baru dalam rancangan transformasinya.
Mentaliti 'perlu jadi calon baru boleh tolong parti' yang mungkin sudah tertanam dalam minda orang lama dalam parti harus diubah segera. Jangan terlalu 'tamak' dan menutup peluang muka-muka baru untuk naik.
Menjadi calon saya andaikan sebagai enjin pada kenderaan yang dinamakan parti. Penumpang yang juga pengundi ini akan seronok jika enjinnya baru dan berkuasa tinggi.
Trend meletakkan calon-calon muda juga sebenarnya sudah dimulakan kedua-dua parti sejak dua pilihan raya umum yang lepas dan hasilnya agak memberangsangkan.
Apapun, rakyat perlu melihat secara keseluruhan. Menilai calon tidak hanya kepada keperibadian namun harus sedar kekuatan parti itu sendiri memberi peratusan tinggi dalam kemenangan.
Calon dan parti ibaratnya pasangan bercinta yang tidak boleh berpisah, dan calon muda juga harus diberi peluang menjadi hero dalam kisah cinta ini selepas bertahun-tahun menjadi penonton.
Hari penamaan calon sudah hampir. Saya sendiri tidak berani hendak membuat tekaan menamakan sesiapa namun yakin banyak muka baru yang muda, segar dan bertenaga yang akan membarisi kepimpinan di banyak kawasan pengundian.
Ini mungkin perubahan besar-besaran kedua-dua parti yang melihat harus mempertaruhkan calon muda demi sokongan berpanjangan.
Bagi calon berusia yang tidak terpilih, jangan sabotaj parti, jangan buat perkara yang boleh merosakkan kredibiliti pimpinan muda dan memberi 'servis' mudah kepada pihak lawan.
Tapi berapa ramai agaknya calon lama yang tidak tersenarai namanya nanti yang boleh berpegang kepada perjuangan asal parti dan mengenepikan kepentingan peribadi? Kalau nak merajuk, seperti kata Najib, 24 jam, cukup.
Tapi biasalah, barang lama mesti akan ada sedikit masalah.