Selepas CTO Mira Murati, dua lagi eksekutif kanan dilapor tinggalkan OpenAI

Amanz
September 26, 2024 11:20 MYT
CTO Mira Murati (foto) antara tiga eksekutif kanan OpenAI yang meletak jawatan baru-baru ini. -Amanz
APAKAH yang sebenarnya berlaku di OpenAI sejak awal tahun ini?

Ringkasan AI
  • CTO Mira Murati, Ketua Penyelidik Bob McGrew, dan Timbalan Presiden Penyelidikan Barret Zoph meletakkan jawatan secara serentak. Murati meninggalkan syarikat untuk eksplorasi peribadi, sementara McGrew dan Zoph meletakkan jawatan beberapa jam selepas itu.
  • CEO Sam Altman mengucapkan terima kasih kepada ketiga-tiga bekas kakitangan, tetapi belum ada pengumuman mengenai pengganti mereka. Peletakan jawatan ini mengikuti insiden pada penghujung 2023 yang menyebabkan Altman dipecat dan lembaga pengarah digantikan.
  • Ramai kakitangan, termasuk pengasas bersama Ilya Sutskever, meninggalkan syarikat kerana tidak bersetuju dengan rancangan Altman untuk menjadikan OpenAI sebuah entiti yang mengaut keuntungan, yang bertentangan dengan tujuan asal penubuhan syarikat.

Pagi semalam, CTO, ketua penyelidik, dan timbalan presiden bahagian penyelidikan OpenAI pula meletakkan jawatan secara serentak.
Mira Murati, CTO OpenAI meninggalkan syarikat atas sebab ingin mengambil masa dan ruang bagi melakukan eksplorasi peribadi. Surat peletakan jawatan Murati dikongsi ke media sosial awal pagi tadi.
Sementara itu, Ketua Pengawai Penyelidik Bob McGrew dan Timbalan Presiden Penyelidikan Barret Zoph meletakkan jawatan beberapa jam selepas Murati melakukan pengumuman di media sosial.
CEO OpenAI Sam Altman mengucapkan terima kasih kepada ketiga-tiga bekas kakitangan. Tiada pengumuman siapakah yang akan mengambil alih tugas CTO selepas ini.
Mira Murati pernah memegang jawatan sebagai CEO syarikat selama beberapa hari selepas Altman dipecat pada penghujung 2023.
Selepas insiden ini, lembaga pengarah telah digantikan dan semakin ramai kakitangan meninggalkan syarikat atas sebab-sebab peribadi.
Peletakan jawatan paling berprofil tinggi ialah Ilya Sutskever yang merupakan ketua saintis dan juga pengasas bersama OpenAI.
Seperti Murati, Sutskever juga terlibat dengan insiden yang menyebabkan Altman dipecat. Beliau kini telahpun menubuhkan syarikat AI baharu Safe Superintelligence Inc (SSI) yang berpangkalan di Israel.
Pada ketika ini hanya tiga daripada 11 pengasas OpenAI masih kekal dengan syarikat.
Adalah dipercayai tampuk kepimpinan OpenAI meletakkan jawatan kerana tidak bersetuju dengan rancangan Sam Altman untuk menjadikan syarikat sebuah entiti yang mengaut keuntungan.
Ini tidak selari dengan tujuan asal OpenAI ditubuhkan. -Amanz
#Mira Murati #OpenAI #letak jawatan #Sam Altman #Bob McGrew
;