Pendapatan X merosot teruk, bakal lancar sistem pembayaran sendiri
Amanz
Jun 19, 2024 12:40 MYT
Jun 19, 2024 12:40 MYT
SEJAK diambil alih oleh Elon Musk, pelbagai penambahburukan diperkenalkan oleh manusia terkaya dunia di X/Twitter.
Ribuan pekerja dipecat, nama syarikat diubah dan calit biru boleh dibeli oleh sesiapa sahaja.
Perubahan yang dirasakan beliau adalah bergeliga ini nampaknya mendatangkan impak negatif dengan pendapatan syarikat semakin merosot.
Dalam laporan Bloomberg, pendapatan X dalam enam bulan pertama 2023 ialah $1.48 billion yang bersamaan penyusutan 40 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pada Q1 2023, X juga mencatatkan kerugian $456 juta. Ini semua disebabkan jumlah pengiklanan yang jatuh mendadak disebabkan kandungan kontroversi yang dibenarkan oleh Musk di X.
Bagi menjana pendapat, laporan Bloomberg turut mengatakan X kini bersedia untuk melancarkan X Payments yang merupakan sistem pembayarannya tersendiri seakan Venmo dan PayPal.
Menerusinya pengguna X boleh melakukan pembayaran untuk melakukan pembelian dalam aplikasi dan juga menyimpan wang dengan X menjadi sebuah bank digital.
Pada ketika ini X sedang melakukan proses untuk mendapatkan lesen bagi membolehkan ia melakukan transaksi kewangan.
Apabila dilancarkan kelak, impian Musk untuk menjadikan X “aplikasi untuk semua” akan menjadi semakin hampir. -Amanz