Pelancong, nomad digital kini boleh berbelanja seperti lokal
Nabilah Khaleeda
Disember 20, 2023 11:51 MYT
Disember 20, 2023 11:51 MYT
PULAU LANGKAWI: Industri pelancongan Malaysia telah menyaksikan pertumbuhan yang memberangsangkan pada 2023, dan dijangka terus berkembang pada tahun 2024 dengan lebih ramai pelancong asing termasuklah nomad digital.
Ini sejajar dengan matlamat untuk menarik lebih ramai pelancong menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan sasaran ketibaan 26.1 juta pelancong asing dan anggaran perbelanjaan domestik sebanyak RM97.6 bilion.
Pengerusi Inbound Tourism Alliance, Uzaidi Udanis berkata, di sebalik kadar positif kemasukan pelancong asing, Malaysia memerlukan lebih banyak perbelanjaan antarabangsa dalam usaha negara menghasilkan pengalaman percutian yang berkualiti.
“Kami di industri pelancongan mahukan pelancong berbelanja dan menyokong bukan sahaja jenama-jenama besar tetapi perniagaan kecil tempatan terutama di kawasan luar bandar.
“Melalui perbelanjaan ini, ia akan membantu menyelesaikan permasalahan yang datang bersama peningkatan jumlah pelancong seperti isu pengurusan sisa pepejal,” jelasnya.
Namun, antara perkara yang kekangan adalah apabila pelancong asing dan nomad digital sering berdepan kesukaran dalam membuat pembayaran atau transaksi.
Pengasas Jetpack, Iskandar Md Sah berkata, kehadiran aplikasi MY TouristPay oleh Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) bertindak sebagai ‘game-changer’.
Dilancarkan pada 11 Disember 2023 di Langkawi, MY TouristPay merupakan aplikasi pertama dunia yang memberikan kemudahan menghubungkan kad debit atau kredit dari negara asal pelancong ketika melakukan transaksi.
Menerusi aplikasi berkenaan pelancong boleh membuat pembayaran dengan mengimbas kod QR DuitNow 1.9 juta titik sentuh di seluruh negara.
Iskandar berkata, dengan fokus pembangunan usahawan tempatan, aplikasi MY TouristPay menggalakkan pembayaran tanpa tunai selari dengan arus transformasi digital yang semakin pesat.
“Peniaga pisang goreng, mahupun pengusaha aktiviti air di tepi pantai turut mendapat manfaat daripada inovasi teknologi ini.
“Saya turut melihat aplikasi ini sebagai alat anti-gentrifikasi, satu isu global yang sudah wujud sejak sekian lama,” tambahnya.
Kedua-dua Uzaidi dan Iskandar ditemui selepas pelancaran aplikasi tersebut di Jalan Pantai Chenang, di sini, pada Isnin.
Mereka berdua beranggapan aplikasi ini menawarkan pengalaman yang lancar dan memastikan keselamatan, kemudahan yang tidak ditemui di negara lain.
“Ia memudahcara pengalaman pembelian antara peniaga dan pelancong yang disebabkan halangan bahasa, mengurangkan risiko kecurian wang, mahupun ketiadaan fasiliti premis pengurup wang yang cukup,” ujar mereka ketika ditemu bual dalam program Niaga AWANI.