Ciri pemesejan peribadi Chats diperkenal di Bluesky

Amanz
Mei 23, 2024 13:23 MYT
Ciri Chats membolehkan pengguna Bluesky menghantar mesej peribadi kepada pengguna lain. -Amanz
APLIKASI media sosial Bluesky yang dibangunkan oleh Jack Dorsey, pengasas Twitter hari ini mengumumkan bahawa aplikasi tersebut akhirnya tiba dengan ciri Chats, yang mana para pengguna Bluesky boleh menghantar mesej peribadi kepada pengguna-pengguna lain.
Setelah Bluesky akhirnya dibuka kepada umum pada bulan lepas, dan di mana mereka mengumumkan bahawa platform tersebut kini mempunyai sekitar 4 juta pengguna, ciri ini akhirnya diperkenalkan di platform tersebut.
Untuk menghantar mesej, anda hanya perlu menekan ikon Chat di bahagian bawah skrin aplikasi ini ataupun di bahagian tepi laman web Bluesky, dan anda akan diberi pilihan untuk memulakan perbualan peribadi dengan individu yang anda ikut, ataupun boleh cari di Bluesky.
Bluesky membenarkan pengguna yang anda ikut untuk menghantar mesej kepada anda secara lalai, dan tetapan ini boleh ditukar melalui menu tetapan pada aplikasi ataupun laman web mengikut keperluan anda.
Buat masa ini, anda hanya boleh menghantar mesej teks ataupun pautan pada mesej-mesej peribadi ini, tetapi Bluesky mengatakan bahawa sokongan media, mesej berkumpulan dan beberapa ciri keselamatan akan diperkenalkan pada Chats di masa akan datang. -Amanz
#Twitter #Bluesky #ciri Chats #hantar mesej peribadi
;