Anak tempatan cipta produk mampu besarkan saiz udang jantan
Farhan Hakimi
Disember 2, 2024 11:20 MYT
Disember 2, 2024 11:20 MYT
KUALA LUMPUR: Dua anak tempatan, Giva Kuppusamy dan Shazaril Adri diumumkan sebagai pemenang program INNOVATHON 2 pada minggu pertama menerusi inovasi dihasilkan mereka iaitu Mono-Sex Giant Freshwater Prawn.
Inovasi benih udang galah jantan yang dihasilkan bagi mendapatkan saiz udang galah jantan yang lebih besar itu menggunakan bioteknologi untuk proses penggandaan populasi dan saiz.
Menerusi teknologi RNA, proses itu menyaksikan udang jantan disuntik menjadi Neo Female, sebelum dikahwinkan dengan Male bagi mendapatkan genetik Male yang lebih besar.
Menurut Siva, idea penghasilan inovasi itu tercetus apabila beliau melihat pembiakan sebagai masalah bagi udang galah.
Katanya, ratio betina adalah 70 peratus atau lebih manakalan jantan cuma 30 peratus.
Anak kelahiran Perak itu merupakan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif GK Aqua dan Sento Biotech yang memfokuskan penghasilan makanan ternakan berasaskan tumbuhan dan serangga untuk udang galah dan spesies akuakultur lain.
Mempunyai lebih 15 tahun pengalaman dalam membangunkan dan melaksanakan penyelesaian berasaskan teknologi untuk industri akuakultur dan makanan ternakan, Siva berusaha mencipta impak positif terhadap alam sekitar, keselamatan makanan dan taraf hidup petani.
INNOVATHON merupakan sebuah program realiti TV berteraskan sains, teknologi dan inovasi yang diterbitkan secara kerjasama antara Kementerian Ekonomi dan juga Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI),
Program ini ditayangkan serentak di Astro Ria (saluran 104), Astro Vaanavil (saluran 201), Astro AEC (saluran306) dan Astro Showcase (saluran 413).
Seramai 56 peserta dipilih menerusi uji bakat dan bakal berentap di pentas INNOVATHON menerusi siri persembahan idea-idea menarik berteraskan sains dan inovasi menerusi siaran selama lapan episod.
Peserta dengan idea terbaik akan mara ke peringkat akhir dan bersaing bagi memenangi Dana Sokongan Pembangunan Perniagaan dengan nilai terkumpul sehingga RM1 juta.