Zulfahmi tidak sabar untuk beraksi

Astro Awani
Februari 28, 2013 09:56 MYT
Pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin yakin mampu memberikan cabaran lebih kuat musim ini.
Menurutnya, keyakinan itu adalah berlandaskan persiapan rapi pasukan barunya Red Bull KTM Ajo menjelang saingan MotoGP Malaysia pada April depan.
“Saya percaya dengan keyakinan saya tahun ini dengan pasukan baru ini bakal membawa saya pergi lebih jauh pada tahun ini,” kata Zulfahmi.
Zulfahmi ditemui ketika sidang media selepas menerima pengiktirafan daripada pihak “Malaysia Book Of Record” di Litar Antarabangsa Sepang, (SIC) yang turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali.
Pengiktirafan itu diberikan ekoran kejayaannya menjadi pelumba pertama negara pernah meraih kedudukan podium di saingan MotoGP.
Lebih manis kejayaan yang dicapai buat kali pertama itu adalah ketika menyambut hari jadi ke-21 pada 21 Oktober tahun lalu di SIC.
Dia menamatkan saingan di tempat kedua setelah dipintas Sandro Cortese di selekoh terakhir.
#Datuk Razlan Razali #Red Bull KTM Ajo #Zulfahmi Khairuddin
;