Zulfahmi tidak sabar tunggu permulaan musim
Bernama
Februari 25, 2016 22:55 MYT
Februari 25, 2016 22:55 MYT
Penunggang Malaysia, Muhammad Zulfahmi Khairuddin sudah tidak sabar menunggu Kejohanan Supersport Dunia membuka tirainya esok.
Selepas menamatkan sesi ujian dua hari di Litar Phillip Island, Australia, Zulfahmi yang mewakili Team Orelac Racing VerdNatura hanya menunggu masa untuk beraksi dengan jentera superbike Kawasaki ZX-6R pada musim pertamanya di kejohanan itu.
"Saya sukakan litar ini kerana mempunyai selekoh laju dan ini sememangnya litar kegemaran pelumba. Cengkamannya juga baik dan ia begitu menyeronokkan menunggang di sini.
"Ia bukan litar yang sukar dipelajari tetapi anda perlu berani dan tahu di mana untuk memecut.
"Litar ini tidak terlalu teknikal tetapi anda perlu bijak mengawal jentera terutama di selekoh.
"Bagi saya, ia adalah litar yang menyeronokkan selain pemandangan yang cantik. Sebelum ini saya hanya menunggang jentera Moto3 di litar ini, jadi saya perlu belajar mengendalikan jentera Kawasaki ini pula," katanya.
Rakan sepasukannya dari Sepanyol, Nacho Calero turut berharap dapat mengendalikan jenteranya dengan baik.
"Saya percaya jentera ini dalam keadaan baik dan saya juga tidak sabar menggunakannya dalam perlumbaan pertama saya bersamanya," kata Calero.