Zulfahmi nilai kelebihan diri dalam pusingan kelayakan
Astro Arena
Februari 28, 2016 20:44 MYT
Februari 28, 2016 20:44 MYT
PELUMBA superbike Malaysia, Muhammad Zulfahmi Khairuddin akan memulakan perlumbaan pertamanya pada Kejohanan Supersport Dunia 2016 di barisan keenam, pada Ahad.
Pelumba Pasukan Orelac Racing VerdNatura berusia 24 tahun itu mencatat 1:34.615 saat untuk berada di kedudukan ke-17 semasa pusingan kelayakan 'superpole' di Litar Phillip Island di Victoria, Australia hari ini.
"Hari ini adalah pusingan kelayakan pertama bagi saya pada Kejohanan Supersport Dunia, dan walaupun ia kurang membanggakan, banyak juga yang positif.
"Jentera dalam keadaan baik dan saya berasa selesa. Saya berada agak jauh ke belakang di atas grid daripada apa yang saya mahu, namun selagi saya boleh membuat permulaan yang sempurna, saya rasa boleh meraih keputusan yang baik," kata Muhammad Zulfahmi dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukan berkenaan.
Penunggang dari Turki, Kenan Sofuoglu daripada pasukan Kawasaki Puccetti Racing mengungguli pusingan kelayakan itu dengan catatan 1:33.142s.
Sementara itu, rakan sepasukan Muhammad Zulfahmi dari Sepanyol, Nacho Calero mencatat masa 1:35.249s untuk berada di kedudukan ke-21.
Pengurus Pasukan Orelac Racing VerdNatura, Guilio Bardi, bagaimanapun kecewa dengan kedudukan pelumbanya di atas grid pada perlumbaan esok.
"Ini satu proses pembelajaran berguna dan kita akan memberi tumpuan terhadap perkara yang positif. Kedua-dua pelumba tahu mereka perlu membuat permulaan yang baik.