Pelumba-pelumba Moto GP handalan dunia kini giat membuat persiapan menjelang perlumbaan musim 2013.

Tidak ketinggalan pelumba sensasi negara, Zulfahmi Khairuddin yang kini berada di Almeria, Sepanyol.

Selepas menjalani sesi ujian pra musim pertama selama tiga hari di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) 5 Februari lalu, Zulfahmi meneruskan persiapannya di Almeria.

Menurut Zulfahmi, tumpuannya kini adalah menyesuaikan diri dengan Jentera Red Bull KTM Ajo bagi menghadapi sesi ujian pra musim rasmi di Valencia, 12 hingga 14 Februari ini.

Selepas Valencia, Zulfahmi dan pelumba lain akan berdepan dua lagi sesi ujian pra musim iaitu di Jerez, pada 19 hingga 21 Februari dan 18 hingga 21 Mac.

Zulfahmi, 21 tahun menyertai Red Bull KTM Ajo dari Air Asia SIC Ajo.

Ia susulan ketiadaan Sandro Cortese dan Danny Kent yang berlumba pada Kejuaraan Dunia Moto Two, musim ini.

Bersama pasukan baru, pelumba kelahiran Banting, Selangor itu bergandingan dengan naib juara musim 2012, Luis Salom dari Sepanyol dan pelumba Australia, Arthur Sissis.

Grand Prix Qatar bakal menjadi perlumbaan pembuka tirai Moto GP, 7 April depan.