Zulfahmi belum tetap sasaran bersama Ongetta Air Asia
Bernama
Disember 21, 2013 20:29 MYT
Disember 21, 2013 20:29 MYT
Pelumba kelas Moto3 negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin (gambar) belum mahu menetapkan sebarang sasaran untuk musim 2014 bersama pasukan baharu Ongetta Air Asia.
Beliau tidak lagi memacu jentera KTM sebaliknya akan menunggang jentera Honda.
"Sejujurnya saya belum menetapkan sebarang sasaran untuk musim 2014. Saya belum menguji sepenuhnya jentera yang akan digunakan itu. Pada November lepas, saya ada melakukan ujian jentera di Litar Almeria (Sepanyol) tetapi tidak banyak yang dapat dilakukan kerana keadaan cuaca yang kurang elok," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran motosikal KTM 1290 Super Duke di Litar Sepang pada Sabtu.
Menurut Muhammad Zulfahmi, beliau akan menguji jentera berkenaan sekali lagi pada sesi ujian rasmi pada 13 Feb depan.
"Saya yakin dengan ketua krew dan jurutera-jurutera yang ada dalam pasukan ini. Ia memberi keyakinan kepada saya untuk berlumba dengan baik dalam musim akan datang," katanya.
Pasukan Ongetta Air Asia bukanlah pasukan yang sama yang pernah disertainya pada 2010 tetapi ia merupakan pasukan yang berbeza dengan menggunakan penaja yang sama.
"Saya memang percaya dengan projek baharu pasukan saya yang menggunakan jentera Honda. Saya mengharapkan mereka akan menghasilkan jentera yang baik untuk tahun hadapan," katanya.
Pelumba berusia 22 tahun dari Banting, Selangor ini melahirkan keyakinan terhadap pengeluar motosikal Honda yang sedang bekerja keras bagi memastikan jentera baharu mereka akan lebih kompetitif dan mampu memberi saingan kepada jentera lain.
"Perlumbaan kelas Moto3 juga akan lebih kompetitif. Musim depan mungkin kita akan dapat lihat penguasaan kelas itu tidak dikuasai oleh satu pengeluar jentera seperti KTM yang berjaya menguasai semua perlumbaan Moto3 musim ini (2013)," katanya.
Mengenai kecederaan yang dialaminya pada musim 2013, Muhammad Zulfahmi berkata beliau kini sudah 90 peratus pulih.
"Saya masih lagi menjalani latihan fisiologi dan menerima rawatan di ISN (Institut Sukan Negara). Saya banyak membuat latihan bagi menguatkan tangan saya," katanya.
Muhammad Zulfahmi ketika bersama pasukan Red Bull KTM Ajo menamatkan saingan di kedudukan ke-12 selepas mengumpul 68 mata untuk musim ini berbanding di tempat ketujuh dengan 128 mata pada 2012.