Zulfadli berdepan Lin Dan dalam Terbuka Indonesia
Astro Arena
Mei 30, 2016 11:46 MYT
Mei 30, 2016 11:46 MYT
WAKIL negara berdepan cabaran getir sebaik kejohanan badminton Terbuka Indonesia bermula apabila terpaksa menempuh beberapa jaguh dunia, lapor Astro Arena.
Beregu campuran utama negara, Chang Peng Soon dan Goh Liu Ying terpaksa berdepan pasangan nombor satu dunia Zhang Nan dan Zhao Yunlei dari China pada pusingan pertama pada Selasa.
Sementara itu, gandingan beregu lelaki Goh V Shem dan Tan Wee Kiong perlu mengatasi beregu keempat dunia dari Korea, Kim Gi Jung dan Kim Sa Rang.
Berdasarkan rekod, V Shem dan Wee Kiong mempunyai kelebihan tatkala mencatat dua kemenangan dalam tiga pertemuan sebelum ini.
Tumpuan bagaimanapun pasti terarah kepada perlawanan yang bakal berlangsung pada Rabu apabila perseorangan negara, Zulfadli Zulkifli diundi bertemu jaguh China, Lin Dan.
Pemain berusia 23 tahun itu sebelum ini mengakui kecewa tidak dipilih mewakili negara dalam saingan Piala Thomas dua minggu lalu sekalipun menjadi perseorangan ketiga negara berdasarkan ranking.
Namun berdepan jaguh dunia Lin Dan, episod duka Zulfadli dikhuatiri bakal berulang.
Di samping itu, seorang lagi perseorangan negara, Iskandar Zulkarnain perlu berdepan pemain nombor 10 dunia dari Jerman, Marc Zwiebler.
Bagaimanapun, lain ceritanya buat Datuk Lee Chong Wei diundi berdepan pemain bukan pilihan dari India, Sameer Verma.