Zuber nafikan kemenangan Brazil
Ian Johan Ariff
Jun 17, 2018 05:38 MYT
Jun 17, 2018 05:38 MYT
Brazil memulakan kempen Piala Dunia FIFA Rusia 2018 dengan keputusan seri 1-1 dengan Switzerland di Rostov Arena.
Philippe Coutinho memberi gol pendahuluan Brazil menerusi sepakan jarak jauh sebelum Steven Zuber menyamakan kedudukan buat Switzerland.
Bekas juara lima kali Piala Dunia FIFA, turun selaku pasukan pilihan juara dengan barisan bintang ternama seperti Neymar, Gabriel Jesus dan Philippe Coutinho.
Bagaimanapun Switzerland tidak memberi laluan mudah buat skuad samba tersebut dengan melancarkan beberapa serangan di awal babak pertama.
Brazil mendahului perlawanan menerusi rembatan jarak jauh pemain Barcelona, Coutinho pada minit ke-20.
Gol yang dijaringkan Coutinho adalah gerakan sama yang sering dilakukannya semasa beraksi untuk Liverpool.
Bola menerjah penjuru kiri gawang yang dikawal penjaga gol Switzerland, Yann Sommer dengan rembatan kaki kanannya dari bahagian kiri padang.
Switzerland bagaimanapun meningkatkan tempo permainan mereka dalam babak kedua dan berjaya mendapat sepakan sudut empat minit selepas permainan bersambung.
Steven Zuber yang tidak dikawal rapi pertahanan Brazil, menanduk masuk sepakan sudut yang diambil Xherdan Shaqiri pada minit ke-50 untuk kedudukan 1-1.
Brazil melancarkan serangan bertali-arus ke arah gawang Switzerland namun gagal menemui penyudah.
Antara peluang terbaik Brazil hadir pada minit ke-90, apabila pemain gantian, Roberto Firmino dinafikan gol kemenangan apabila tandukannya diselamatkan Sommer.