Zolkples: Perubahan tarikh jejas atlet ke Riau

Bernama
April 5, 2013 13:08 MYT
Penghantaran atlet negara ke temasya Sukan Perpaduan Islam ketiga di Riau, Indonesia mungkin terjejas susulan tindakan penganjur menunda tarikh kejohanan daripada Jun kepada Oktober ini.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong yang kecewa dengan keputusan itu, berkata bagaimanapun masih terlalu awal untuk mereka membuat keputusan mengenai penghantaran atlet ke temasya tersebut.
"Saya kecewa dengan keputusan penangguhan tersebut yang dilakukan pada saat akhir kerana mampu menjejaskan program persediaan atlet negara yang telah disusun rapi oleh kita sejak awal tahun," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Zolkples berkata tarikh baharu itu juga hampir dengan tarikh berlangsungnya Sukan SEA di Myanmar yang dijadual akhir tahun ini.
"MSN bagaimanapun akan duduk semeja dengan persatuan sukan kebangsaan serta Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Kehormat MOM Datuk Sieh Kok Chi mengesahkan penganjur temasya sukan melibatkan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) itu terpaksa menundanya ke tarikh baharu selepas tuan rumah gagal menyiapkan stadium utama yang menjadi venue perasmian.
"Kita bagaimanapun masih menunggu maklum balas rasmi daripada Persekutuan Sukan Perpaduan Islam (ISSF) dan negara tuan rumah sendiri sama ada mereka ingin meneruskan atau membatalkan penganjuran sukan itu.
"Adalah sukar bagi MOM untuk membuat keputusaan sama ada ingin menghantar kontinjen negara ke Riau memandangkan ISSF belum memberi kata putus kepada kita setakat ini," katanya.
Sebuah agensi berita asing semalam melaporkan penganjuran temasya sukan itu terpaksa ditangguh selepas pekerja pembinaan menutup stadium utama sebagai tanda bantahan kerana tidak menerima pembayaran penuh.
Agensi berita itu memetik setiausaha penganjur Thomas Lubis sebagai berkata kontraktor yang diupah membina stadium tersebut mempunyai hutang berjumlah US$4.12 juta (RM12.689 juta).
Penganjuran Sukan Perpaduan Islam kedua di Tehran, Iran pada 2010 dibatalkan oleh ISSF apabila negara tuan rumah gagal menyediakan kemudahan sewajarnya.
#Riau #sukan #Sukan Perpaduan Islam #Zolkples Embong
;