Zlatan tolak tawaran lumayan untuk ke United - Raiola

Astro Arena
Oktober 1, 2016 11:25 MYT
Sejak tiba di United, Zlatan (gambar) telah menghasilkan persembahan yang menarik apabila berjaya meledak enam gol dalam 10 penampilan. - Foto AFP
MENURUT ejen pemain, Mino Raiola, penyerang Manchester United, Zlatan Ibrahimovic menolak tawaran beraksi di China yang bernilai EURO100 juta untuk terus beraksi di pentas yang tertinggi.
Ibrahimovic berhijrah ke United selepas kontraknya bersama juara Perancis Paris Saint-Germain tamat.
Sejak tiba di United, Zlatan telah menghasilkan persembahan yang menarik apabila berjaya meledak enam gol dalam 10 penampilan.
Ejen bekas pemain kebangsaan Sweden itu, Raiola memberitahu kepada Il Giornale: "Ibrahimovic adalah yang terbaik. Dia menolak tawaran bernilai EURO100 juta daripada sebuah kelab di China. Dia tidak memilih wang sebaliknya mahu terus melakar kejayaan.
"Saya sangat bertuah, saya sentiasa mendapat sang juara. Zlatan, Pavel Nedved, Maxwell dan kini Blaise Matuidi serta Gianluigi Donnarumma."
Raiola memberitahu penyerang Mario Balotelli mampu memenangi Ballon d'Or sebanyak lima kali jika dia memiliki mentaliti yang sama seperti Zlatan.
Penyerang Itali itu menyertai Nice selepas gagal mencipta impak bersama Liverpool dan AC Milan, tetapi Raiola berkata bakat semula jadi dimiliki Balotelli mampu membawanya meraih lebih banyak kejayaan.
"Dia mengalami banyak kisah duka di usia muda, dan perkara itu akan selalu berada di mindanya. Jika dia mempunyai mentaliti seperti Zlatan, dengan bakatnya dia sudah memenangi lima Ballon d'Or."
#China #Manchester United #Mino Raiola #tawaran #Zlatan Ibrahimovic
;