Ziyad Zolkefli dapat hadiah sebelum Sukan Sea
Gempak
Ogos 3, 2017 18:00 MYT
Ogos 3, 2017 18:00 MYT
JUARA dunia sukan lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli, 27, menerima hadiah paling bermakna sebelum temasya Sukan Sea berlangsung.
Ziyad menimang cahaya mata perempuan selepas isterinya, Zafirah Mohd Nasir selamat melahirkan bayi seberat 3.4 kilogram pada jam 1.37 petang semalam.
"Alhamdulillah syukur isteri dan anak sihat. Ini adalah anugerah terindah buat saya dan isteri.
"Saya mengharapkan kehadiran anak saya ini akan menjadi pembakar semangat buat saya untuk memberikan aksi terbaik untuk meraih pingat pada penampilan pertama saya di Sukan Sea yang menjelang tiba dan mempertahankan pingat emas di Para Asean nanti," kata Ziyad.
Ziyad mencipta sejarah selepas memenangi pingat emas dan memecahkan rekod dunia miliknya dalam acara lontar peluru F20 di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.
Pada kejohanan itu, Ziyad melakukan lontaran sejauh 17.29 meter, mengatasi rekod lama 16.48 meter yang dilakukannya di Sukan Paralimpik Rio 2016.
Ziyad bakal beraksi di Sukan Sea dan Para Asean yang bakal bermula bulan ini.
Sumber: Facebook Majlis Sukan Negara Malaysia