Ziyad tidak beraksi di Sukan SEA Thailand 2025

Bernama
Januari 22, 2025 13:53 MYT
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh (kiri) melihat kenderaan baharu Muhammad Ziyad pada Majlis Penyerahan Kenderaan Chery kepada Pemenang Pingat Paralimpik Paris 2024 di Bilik Pameran Chery Malaysia, Glenmarie, Shah Alam, semalam. -- fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Jaguh lontar peluru para negara Muhammad Ziyad Zolkefli memberi bayangan tidak menyertai temasya Sukan SEA Thailand hujung tahun ini.
Beliau yang pernah mewakili negara sebanyak empat kali berturut-turut di sukan dwi tahunan itu bermula pada edisi 2017 di Kuala Lumpur hingga di Kemboja pada tahun 2023 berkata keputusan itu dibuat memandangkan jadual kejohanan yang padat tahun ini.
Bagaimanapun, beliau akan bertanding pada temasya Sukan Para ASEAN (APG) 2025 yang dijadual berlangsung Januari tahun depan.
"Sukan SEA tahun ini jujur saya cakap mungkin tidak akan sertai sebab sudah terlalu berat dan sudah empat edisi saya sertai.
"APG mungkin saya akan beraksi tetapi Sukan SEA memang tidak," katanya kepada pemberita baru-baru ini.
Untuk rekod, sepanjang penyertaan Muhammad Ziyad di Sukan SEA, atlet berusia 34 tahun ini tidak pulang dengan tangan kosong apabila meraih satu perak dan tiga gangsa secara keseluruhan.
Dalam pada itu, ditanya berkenaan perancangannya tahun ini, beliau berkata akan menyertai beberapa kejohanan besar antaranya Grand Prix Dunia Olahraga Para di Marrakesh, Morocco pada April dan Kejohanan Olahraga Para Dunia di New Delhi India September depan.
Beliau akan menjalani latihan di Malaysia bagi mempersiapkan diri untuk dua kejohanan berkenaan.
"Untuk tahun ini kita berlatih di Malaysia sahaja dan tidak akan ke luar negara. Bagi saya kelengkapan yang disediakan Majlis Sukan Negara (MSN) sebenarnya sudah terbaik.
"Tidak semestinya berlatih di luar sahaja bagus, berlatih di negara sendiri juga boleh jadi hebat," katanya.
-- BERNAMA
#Sukan SEA Thailand 2025 #lontar peluru #atlet para #Ziyad Zolkefli
;