Ziyad layak dan wajar terima imbuhan SHAKAM- Reezal Merican
Raja Hisyam Raja Zaid
September 2, 2021 15:37 MYT
September 2, 2021 15:37 MYT
PUTRAJAYA: Atlet lontar peluru paralimpik negara Muhammad Ziyad Zolkefli sewajarnya menerima imbuhan dan elaun yang sepatutnya diberikan kepada atlet yang memenangi pingat di temasya Paralimpik Tokyo 2020.
Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga mantan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, ini kerana Ziyad telah terlebih dahulu dibenarkan melakukan lontaran dalam acara tersebut sebelum penyertaannya dibatalkan.
“Secara prinsip dan peribadi saya rasa ia wajar (berikan elaun dan imbuhan). Sebab saya sampai sekarang masih kecewa dengan keputusan yang dibuat dengan menafikanya (kemenangan Ziyad).
“Walau apapun alasan, dia telah dibenarkan untuk melakukan lontaran dan dia telah melakukannya dan lontaran dilakukan oleh dia direkodkan secara rasmi dan ia merupakan rekod dunia. Bukan dia tak lontar dan lontaran itu tidak ada kesalahan teknikal,” katanya pada sidang media di sini pada Khamis.
Kejayaan Ziyad melakarkan satu lagi rekod baharu dunia dalam acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual) di Sukan Paralimpik Tokyo Selasa lalu sebelum ini dibatalkan oleh pihak penganjur.
Ia susulan masalah teknikal apabila Ziyad dikatakan lewat memasuki çall room.
Dalam acara itu Ziyad memecahkan rekod dunia sebanyak dua kali dengan melakukan catatan 17.94 meter sebelum kemenangan itu ditarik balik dan diberikan kepada atlet Ukraine, Maksym Koval.
Jika berdasarkan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), pemenang emas di Sukan Olimpik atau Paralimpik layak menerima insentif RM1 juta manakala perak RM300,000 dan gangsa RM100,000,
Setakat ini terdapat 13 atlet Olimpik negara yang sudah menikmati imbuhan di'bawah skim itu.