Ziyad juara sebenar, pingat emas dirampas - Azizulhasni

Afiezy Azaman
September 1, 2021 10:55 MYT
Ziyad didapati lewat tiba di bilik menunggusebelum acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual) berlangsung di Stadium Olimpik Tokyo, menyebabkan statusnya diklasifikasi sebagai tidak memulakan aksi. - Foto Instagram Azizulhasni Awang
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia tahu, atlet para negara Muhammad Ziyad Zolkefli ialah juara sebenar dalam acara lontar peluru, dan pingat emasnya telah dirampas terang-terangan.
Demikian ulas jaguh berbasikal trek negara Datuk Muhammad Azizulhasni Awang, yang menasihati Muhammad Ziyad, walaupun ia pahit untuk ditelan, ketentuan Qada dan Qadar Allah perlu diterima.
Katanya, Muhammad Ziyad tidak boleh berputus asa, sebaliknya harus terus bergerak ke hadapan.
"Pertamanya saya ingin ucapkan jutaan tahniah kepada rakan saya Ziyad Zolkefli di atas prestasi cemerlang memecahkan rekod dunia yang ditonjolkan di Sukan Paralimpik Tokyo.
"Sememangnya sudah di atas kertas yang Ziyad adalah juara, malah memecahkan rekod dunia bukan sesuatu yang mudah.
"Namun saya berharap Ziyad bersabar dengan ujian yang terpaksa dihadapi sekarang ini.
"Sudah tentu ia bukan suatu keputusan yang mudah untuk diterima. Saya benar-benar faham akan perasaan Ziyad kerana saya sendiri pernah ditarik kemenangan pingat emas di Sukan Komanwel New Delhi 2010 dahulu," katanya dalam satu kenyataan menerusi media sosial hari ini.
Paralimpik Tokyo | Ziyad juara sebenar, pingat emas dirampas - Datuk Azizulhasni
Azizulhasni mengingatkan, apa yang terjadi merupakan realiti dalam dunia sukan di mana pelbagai perkara di luar jangkaan boleh berlaku.
"Kadangkala ia adalah kerana kesilapan kita, namun kadangkala pula boleh jadi kesilapan dari pihak lawan.
"Jangan terkejut jika pihak pengadilan juga melakukan kesilapan kerana ia memang sentiasa berlaku di dalam dunia sukan ini.
"Mereka adalah manusia dan kita juga adalah manusia. Manusia memang tidak lari daripada membuat kesilapan," tambahnya.
Sumber Facebook azizulawangofficial
Awal pagi ini, rayuan Kontinjen Malaysia bagi mengesahkan pingat emas milik Muhammad Ziyad telah ditolak pihak penganjur dalam mesyuarat antara chef-de-mission (CDM).
Kemenangannya dibatalkan selepas dia dianggap tersingkir kerana dikatakan lewat masuk ke call room sebelum pertandingan dimulakan.
Menurut laman Facebook Team Malaysia, pingat emas itu secara rasmi diberikan kepada atlet Ukraine, Maksym Koval, yang membuat bantahan selepas kemenangan Muhammad Ziyad.
Paralimpik Tokyo | Ini punca emas Ziyad Zolkefli 'diragut'
#Azizulhasni Awang #Ziyad Zolkefli #emas Ziyad dibatalkan #Paralimpik Tokyo 2020
;