Ziyad dibuktikan lewat tiba di bilik menunggu

Astro Awani
November 5, 2021 19:39 MYT
Berdasarkan laporan dibuat Jawatankuasa Siasatan Dalaman, Muhammad Ziyad Zolkefli dibuktikan lewat tiba di bilik menunggu dalam acara Sukan Paralimpik Tokyo 2020. - Gambar Fail
KUALA LUMPUR: Peluang bagi mendapatkan semula pingat emas yang dimiliki sebelum ini mungkin terkubur selepas jaguh Paralimpik dalam sukan lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli dibuktikan lewat tiba di bilik menunggu dalam acara Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Perkara itu dinyatakan dalam laporan dibuat Jawatankuasa Siasatan Dalaman yang kemudiannya diserahkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Menurut beliau dalam satu kenyataan, jawatankuasa berkenaan tidak dapat membuktikan bahawa Ziyad sememangnya tiba tepat pada waktunya di bilik menunggu bagi tujuan pendaftaran sebelum acara itu bermula.
“Walaupun terpaksa menerima keputusan yang dibuat oleh Olahraga Para Dunia (WPA) bagi isu Ziyad, pihak persatuan Olahraga Para Malaysia dan Majlis Sukan Negara akan tetap mengemukakan pandangan Malaysia ekoran kekeliruan peraturan teknikal Para Olahraga khususnya mengenai peraturan ‘Did Not Start’ (DNS) yang dikenakan kepada atlet para olahraga.
“Seperti kita sedia maklum, pegawai teknikal menegaskan Ziyad dan dua atlet lain iaitu dari Australia dan Ecuador melewati tempoh masa melaporkan diri tetapi masih dibenarkan beraksi,” kata Ahmad Faizal pada Jumaat.
Dalam pada itu, kata beliau, pihaknya memandang serius isu berkenaan dan mahu semua pihak bersikap lebih tanggungjawab di masa hadapan.
“KBS juga akan memastikan tindakan susulan yang wajar diambil oleh atlet, jurulatih dan juga pegawai khususnya bagi tujuan kesedaran, pengajaran, penambahbaikan dan rujukan agar perkara seperti ini tidak berulang lagi.
“Meskipun begitu, lontaran yang dibuat oleh Ziyad di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 akan dihargai,” tambah beliau lagi.
Terdahulu, Muhammad Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang juga rekod baharu dunia pada temasya sukan berprestij di Jepun itu.
Atlet berusia 31 tahun itu diklasifikasikan sebagai 'Did Not Start' (DNS) atau tidak memulakan saingan susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine yang mendakwa Muhammad Ziyad lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.
Kontroversi melanda hari ketujuh temasya berprestij itu menyaksikan atlet Ukraine Maksym Koval diumum sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34m sekali gus memecahkan rekod dunia milik Muhammad Ziyad iaitu 17.29m yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.
#Paralimpik Tokyo 2020 #Muhammad Ziyad Zolkefli #Sukan Paralimpik Tokyo 2020 #Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu
;