Zii Jia ulangi tidak akan sertai Sukan Komanwel

Astro Arena
Jun 27, 2022 11:51 MYT
ZII JIA: "Mengenai isu, saya tak nak masuk campur dan sebab itulah saya mahu menjadi pemain profesional." - Gambar fail/BERNAMA
'INI kali terakhir', itu kata-kata perseorangan profesional nombor satu negara, Lee Zii Jia, mengenai penarikan diri daripada Sukan Komanwel bulan depan.
Keputusan Zii Jia untuk menarik diri daripada Sukan Komanwel telahpun mendapat komen positif dan negatif beberapa pihak.
Bagaimanapun Zii Jia berkongsi bahawa dia tidak terganggu daripada perkara tersebut dan terus menumpukan perhatian terhadap saingan Terbuka Malaysia.
"Saya rasa takkan mengganggu atau memberi kesan kepada saya dalam persiapan ini (Terbuka Malaysia). Sebab itulah saya di sini sebagai pemain profesional kerana saya nak jauhkan daripada perkara sebegini.
"Saya tak akan membalas apa-apa komen mengenai perkara ini. Saya tak akan balas semula (kritikan) kerana saya mahu memberi fokus kepada badminton saja... hanya badminton!
"Mengenai isu, saya tak nak masuk campur dan sebab itulah saya mahu menjadi pemain profesional," kata Zii Jia.
Sementara itu, jurulatih badminton profesional negara, Chin Ee Hui, teruja dicadangkan Timbalan Pengarah Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, untuk kembali ke badan induk itu dan menjadi jurulatih beregu campuran.
Bagaimanapun Ee Hui berkongsi bahawa ia masih berada di tahap perbincangan dan fokusnya kini terhadap pemain pemain profesional negara.
*Artikel asal disiarkan di Stadium Astro
#Lee Zii Jia #badminton #Sukan Komanwel #BAM
;