Zii Jia, Tze Yong bertemu di suku akhir Terbuka Australia esok
Bernama
Ogos 3, 2023 17:52 MYT
Ogos 3, 2023 17:52 MYT
KUALA LUMPUR: Dua pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong beraksi cemerlang apabila berjaya melangkah ke suku akhir kejohanan badminton Terbuka Australia 2023 hari ini.
Lebih menarik, kedua-dua pemain berkenaan akan membuat perhitungan sesama sendiri untuk menempah slot ke separuh akhir, sekali gus menjadikan pertarungan mereka dinantikan bagi menentukan siapa lebih layak digelar pemain perseorangan lelaki utama negara buat masa ini.
Terdahulu dalam saingan pusingan kedua hari ini, Zii Jia yang kini berada di ranking ke-17 dunia mengetepikan cabaran pemain India Mithun Manjunath 21-13, 12-21, 21-19 pada aksi yang berlangsung di gelanggang Quaycentre di Australia.
Kemenangan itu menyaksikan Zii Jia akan bertemu Tze Yong yang terlebih dahulu mengejutkan pemain nombor lima dunia dari Indonesia, Jonatan Christie 22-20, 21-15 untuk mara ke suku akhir, esok.
Sebagai rekod, Zii Jia dan Tze Yong yang menduduki posisi ke-21 dunia, belum pernah berentap sesama sendiri pada mana-mana kejohanan antarabangsa sebelum ini.
Sementara itu, nasib berbeza menimpa beregu lelaki negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang kecundang kepada pencabar dari Taiwan Lee Yang-Wang Chi-Lin 21-18, 17-21,19-21.
Beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut menerima nasib sama apabila tewas kepada gandingan Indonesia Renov Revaldy-Pitha Haningtyas Mentari 16-21, 21-17, 19-21.
Keputusan lain:
Beregu campuran:
[3] Seo Seung Jae-Chae Yu Jung (KOR) mn Hoo Pang Ron- Teoh Mei Xing 22-20, 11-21, 21-12
Hiroki Midorikawa-Natsu Saito (JPN) mn [2] Goh Soon Huat- Lai Shevon Jemie 21-17, 18-21, 21-17
-- BERNAMA