Zii Jia tersingkir seawal pusingan pertama badminton Terbuka Perancis
Bernama
Oktober 26, 2022 19:30 MYT
Oktober 26, 2022 19:30 MYT
KUALA LUMPUR: Pemain badminton perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia tersingkir seawal pusingan pertama pada Terbuka Perancis 2022, selepas dikejutkan dengan kekalahan kepada pemain bukan pilihan dari Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito hari ini.
Zii Jia yang juga pilihan ketiga kejohanan, mudah ditundukkan 19-21, 18-21 dalam pertarungan yang berlangsung selama 44 minit, di arena Stade Pierre de Coubertin di Paris.
Pada pusingan kedua esok, Rhustavito, yang berada di ranking ke-24 dunia, akan turun bertemu pemain Jepun Kodai Naraoka, yang telah menewaskan pemain Kanada Brian Yang 21-15, 21-18.
Ahad lepas, Zii Jia terpaksa akur apabila hanya mampu menjadi naib juara selepas tewas kepada pemain China Shi Yuqi 18-21, 21-16, 12-21, di final Terbuka Denmark 2022.
Dalam perkembangan lain, pemain berusia 24 tahun itu berjaya melonjak satu anak tangga dan kini berada pada ranking kedua terbaik dunia, berdasarkan ranking terkini Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini.
Zii Jia naik satu anak tangga dari kedudukan di tempat ketiga, selepas berjaya mengumpulkan 92,528 mata, manakala penyandang juara dunia Viktor Axelsen dari Denmark kekal di tempat teratas dengan 122,606 mata, manakala rakan senegara Anders Antonsen di tempat ketiga dengan 87,400 mata.
-- BERNAMA