Zii Jia terlepas peluang ke Final Jelajah Dunia BWF

Bernama
November 17, 2022 18:33 MYT
Pemain nombor dua dunia itu terkandas di pusingan kedua Terbuka Australia 2022 di Quay Centre, Sydney di tangan Lu Guang Zu dari China. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia gagal melayakkan diri ke Final Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand dari 7 hingga 11 Dis ini.
Ini selepas pemain nombor dua dunia itu terkandas di pusingan kedua Terbuka Australia 2022 di Quay Centre, Sydney di tangan Lu Guang Zu dari China.
Pemain pilihan utama kejohanan itu memenangi set pertama 22-20 sebelum kecundang 15-21, 16-21 dalam dua set seterusnya yang berlangsung selama 70 minit.
Kekalahannya hari ini bermakna pemain berusia 24 tahun itu kekal di kedudukan kesembilan ranking Jelajah Dunia BWF dengan 54,930 mata di belakang Guang Zhu yang berada di kedudukan kelapan dengan 56,310 mata.
Hanya pemain di kedudukan lapan teratas layak ke Final Jelajah Dunia BWF.
Sementara itu, pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022, Ng Tze Yong terselamat di pusingan kedua apabila menewaskan wakil Korea Selatan Heo Kwang Hee 21-16, 19-21, 21-5.
Tze Yong akan berhadapan pemain tuan rumah Nathan Tang, yang bangkit daripada ketinggalan dengan menundukkan rakan senegara Jie Ying Chan, 18-21, 21-17, 22-20 dalam pusingan kedua.
Pada masa sama, Soong Joo Ven yang memenangi set pertama 21-15 ketika menentang lawan dari Indonesia Ikhsan Leonardo Imanuel Rumbay sebelum kecundang 18-21, 12-21 pada set seterusnya.
Perseorangan wanita pula menyaksikan bekas juara remaja dunia dua kali, Goh Jin Wei tidak menghadapi masalah menewaskan wakil India Anwesha Gowda, 21-7, 21-13.
Jin Wei yang bukan pemain pilihan kejohanan akan bertemu pemain Thailand Pornpawee Chochuwong pada suku akhir, selepas pemain pilihan ketiga kejohanan itu menundukkan pemain Jepun Aya Ohori, 21-11, 21-15 hari ini.
Beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi juga melayakkan diri ke suku akhir selepas menewaskan wakil tuan rumah Ricky Cheng-Jack Wang, 21-6, 21-18 dalam masa 23 minit.
Yew Sin-Ee Yi yang merupakan pilihan keenam kejohanan akan bertemu beregu Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae yang menundukkan beregu Jepun Hiroki Okamura-Masayuki Onodera, 21-10, 21-10.
-- BERNAMA
#Lee Zii Jia #final jelajah dunia #badminton #BWF
;