Zii Jia tak sabar nak jumpa Axelsen
Sinar Harian
Mei 26, 2024 09:30 MYT
Mei 26, 2024 09:30 MYT
JAGUH perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menyifatkan kejayaan melangkah ke final Malaysia Masters 2024 menentang Viktor Axelsen di laman sendiri lewat petang ini sebagai sesuatu yang amat istimewa.
Pemain di ranking nombor 10 dunia itu juga mengisytiharkan dirinya cergas untuk beraksi di Axiata Arena, Bukit Jalil selepas mengalami kecederaan otot pada Jumaat.
Malah pemain berusia 26 tahun itu juga sudah bersedia sepenuhnya untuk bertarung dengan wakil Denmark itu yang merupakan juara edisi 2018.
"Saya dalam keadaan yang baik, selagi tiada masalah kecederaan yang serius, saya akan turun ke gelanggang.
"Kejayaan ke final ini sangat bermakna untuk saya kerana ia di laman sendiri... di Malaysia.
"Saya tidak pernah mara ke final di laman sendiri sebelum ini, jadi saya sudah tidak sabar untuk beraksi di final," katanya yang menumpaskan Anders Antonsen dalam aksi suku akhir pada Jumaat.
Zii Jia mara ke final selepas menyingkirkan bekas juara dari Hong Kong, Ng Ka Long 21-15, 21-17 pada aksi separuh akhir pada Sabtu.
Ia adalah kemenangan kedua berturut-turut Zii Jia ke atas Ka Long selepas turut menewaskan lawan itu ketika menjuarai Terbuka Thailand minggu lalu.
Zii Jia turut mengulas mengenai tentangan sengit yang bakal diberikan pemain nombor satu dunia itu.
"Saya tidak fikir terlalu jauh tentang apa yang akan berlaku.
"Sebaliknya, saya mahu tenangkan diri, mendapatkan rehat yang cukup dan makan untuk memastikan tubuh badan saya kembali cergas bagi menghadapi aksi final," katanya.
Berdasarkan rekod pertemuan, Axelsen menang enam daripada sembilan pertemuan dengan Zii Jia termasuk kali terakhir pada saingan Piala Thomas di Chengdu, China, bulan lalu.
Sebagai rekod, kali terakhir wakil perseorangan lelaki negara muncul juara Malaysia Masters adalah menerusi bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei pada edisi 2016 di Pulau Pinang. - Sinar Harian