Zii Jia singkirkan juara Seluruh England

Sinar Harian
Mac 22, 2023 07:45 MYT
Aksi Zii Jia ketika bermain menentang Li Shi Feng dari China, pada Terbuka Switzerland di Basel. - Foto Facebook BAM
JAGUH perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mencipta kejutan awal apabila menumbangkan juara Seluruh England, Li Shi Feng dalam aksi pusingan pertama Terbuka Switzerland di Basel malam tadi.
Tampil selaku pilihan kedua kejohanan, Zii Jia yang mara sehingga peringkat separuh akhir Seluruh England di Birmingham Sabtu lalu, melakar kemenangan 18-21, 21-18, 23-21 ke atas lawannya dari China itu.
Sejurus tumbang di tangan pemain China, Shi Yuqi dalam aksi separuh akhir Seluruh England, Zii Jia mengakui tahap keyakinannya semakin tinggi dalam memburu kejayaan.
Sebelum itu, Zii Jia yang juga pemain nombor empat dunia terkandas di pusingan awal dalam empat kejohanan disertainya tahun ini - Terbuka Malaysia, Terbuka India, Masters Indonesia dan Terbuka Jerman.
Untuk rekod, kali terakhir Zii Jia yang juga juara Seluruh England 2021 merangkul kejuaraan adalah pada Terbuka Thailand Mei tahun lalu. - Sinar Harian
#Lee Zii Jia #Terbuka Switzerland #Li Shi Feng #badminton
;