Zii Jia selamat tiba di tanah air, mula jalani kuarantin
Bernama
Mac 23, 2021 20:36 MYT
Mac 23, 2021 20:36 MYT
SEPANG: Wira badminton negara, Lee Zii Jia selamat tiba di tanah air petang ini, selepas kejayaan merangkul gelaran perseorangan lelaki Kejohanan Badminton All England, Ahad lepas.
Pemain berusia 22 tahun itu yang menaiki pesawat Turkish Airlines, mendarat pada 4.45 petang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama-sama skuad negara.
Selepas selesai menjalani proses pemeriksaan kastam dan imigresen, Zii Jia, pasangan beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah yang menjuarai Terbuka Switzerland serta Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann keluar ke Balai Ketibaan pada kira-kira 6 petang tadi.
Turut hadir menyambut kepulangan skuad negara adalah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Kenny Goh.
Skuad negara kemudian meluangkan masa beberapa minit untuk sesi fotografi bersama media dengan mematuhi penjarakan fizikal dan menyelesaikan proses sanitasi bagasi, sebelum menaiki bas untuk ke pusat kuarantin. Tiada sesi temu ramah diadakan.
Juara Sukan SEA 2019 itu, akan menjalani kuarantin wajib selama tujuh hari di sebuah hotel mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh kerajaan bagi semua individu yang pulang dari luar negara di bawah pengawasan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Pemain kelahiran Alor Setar itu, muncul juara All England selepas menampilkan semangat juang tinggi pada perlawanan akhir untuk menewaskan juara bertahan Viktor Axelsen dari Denmark 30-29, 20-22, 21-9, di Utilita Arena Birmingham, pada Ahad lepas.
Pernah ditewaskan pada peringkat separuh akhir kepada pemain sama tahun lepas, Zii Jia amat bersemangat untuk memenangi gelaran itu, selepas menewaskan pemain nombor satu dunia dan harapan pingat emas Olimpik Jepun Kento Momota, dengan keputusan 21-16, 21-19 pada saingan suku akhir.
Sementara itu, Komander Operasi Kuarantin Nadma, KLIA, Abdul Manaf Che Isa berkata skuad negara hanya perlu menjalani kuarantin selama tujuh hari kerana telah membuat ujian calitan sebelum berlepas pulang ke tanah air.
-- BERNAMA