Zii Jia perlu belajar atasi cabaran, berada pada tahap optimum - Choong Hann
Bernama
November 1, 2021 04:45 MYT
November 1, 2021 04:45 MYT
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia sedang mengharungi fasa yang penting dalam kariernya, iaitu meraih pengalaman mengatasi cabaran beraksi dalam kejohanan besar secara berturut-turut.
Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann berkata pemain berusia 23 tahun itu perlu belajar berada pada tahap kecergasan maksimum supaya dapat beraksi dengan optimum dalam setiap kejohanan.
Berikutan kekalahan mengejut kepada pemain nombor 40 dunia, Loh Kean Yew dari Singapura pada pusingan pertama Terbuka Perancis minggu lalu, Choong Hann berkata Zii Jia harus belajar menangani cabaran fizikal dan mental untuk beraksi di beberapa kejohanan berintensiti tinggi secara berterusan.
"Saya rasa tahap fizikalnya masih okey....Ini satu pengalaman yang penting untuk dia, supaya dia lebih mengetahui dan boleh melangkaui jangkaan untuk diri sendiri, serta bersedia untuk cabaran lebih sengit pada masa akan datang.
"Mereka (Zii Jia dan jurulatih Hendrawan) akan terus jalankan latihan pemulihan dan juga pemulihan semula badan. Kita akan meneliti situasi dia untuk program yang selanjutnya, terutamanya dalam membuat keputusan mengenai penyertaan di Terbuka Hylo bermula esok," katanya menerusi video daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Sebelum ini, keletihan beraksi dalam banyak kejohanan secara berterusan dilaporkan sebagai punca Zii Jia tewas dalam pusingan pembukaan Terbuka Perancis di Paris selepas beraksi dalam empat kejohanan berturut-turut sejak akhir September lepas.
Juara All England itu, memulakan jelajahnya di Eropah dengan Piala Sudirman di Vantaa, Finland bermula 26 Sept hingga 3 Okt, diikuti Piala Thomas di Aarhus, Denmark (9-17 Okt), Terbuka Denmark di Odense (19-24 Okt), sebelum beraksi di Paris.
Di kejohanan Terbuka Hylo di Saarbrucken, Jerman bermula esok, Zii Jia dijadualkan bertemu Pablo Abian dari Sepanyol pada pusingan pertama.
Choong Hann juga mengesahkan bahawa gandingan beregu lelaki utama Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah tidak dijadualkan menyertai kejohanan di Jerman itu sejak awal.
Malah, mereka mahu memberikan tumpuan terhadap Master Indonesia (16-21 Nov) dan Terbuka Indonesia (23-28 Nov) di Bali, serta Kejohanan Dunia (12-19 Dis) di Huelva, Sepanyol sekiranya layak.
Sementara itu, beliau turut memuji pemain perseorangan lelaki muda negara, Ng Tze Yong yang mempamerkan prestasi konsisten dalam beberapa kejohanan sejak kebelakangan ini, termasuk muncul naib juara Terbuka Czech dan juara Antarabangsa Belgium.
"Memang dia antara beberapa pemain muda yang kita beri fokus untuk cuba menaikkan prestasi dan keupayaan. Saya berharap pengalaman beraksi di Piala Sudirman, Thomas yang lalu, boleh membuka kesedaran untuk memahami intensiti perlawanan tahap tertinggi.
"Kita harap dia lebih memahami hala tuju dari segi intensiti latihan, corak permainan yang mantap, smart dan berupaya mengatasi pemain yang terbaik. Kita melihat dia makin menunjukkan kematangan dan jadi kita gembira dengan perkembangannya, tapi kita akan terus monitor dan dorongnya," katanya.
-- BERNAMA