Zii Jia, Pearly-Thinaah dapat laluan mudah di pusingan pertama Seluruh England

Bernama
Mac 5, 2025 15:18 MYT
Zii Jia dijadual bertemu pemain ranking ke-20 dunia dari Hong Kong Angus Ng Ka Long pada pusingan pertama. - Foto BAM
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia dijangka tidak berdepan masalah untuk melepasi pusingan pertama pada Kejohanan Badminton Seluruh England di Utilita Arena Birmingham dari 11 hingga 16 Mac ini.
Berdasarkan keputusan undian dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Zii Jia selaku pemain pilihan ketujuh kejohanan dijadualkan bertemu pemain ranking ke-20 dunia dari Hong Kong Angus Ng Ka Long, yang hanya menang empat kali dalam 10 pertemuan mereka.
Zii Jia, 27, memenangi lima pertemuan terakhir menentang pencabarnya itu sejak Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China, yang diadakan pada Oktober 2023.
Seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao yang membuat penampilan sulung pada kejohanan berprestij itu bakal berdepan laluan sukar di pusingan pertama apabila diundi bertemu pilihan ketiga kejohanan dari Indonesia Jonathan Christie.
Bagaimanapun, pemain ke-26 dunia itu tidak mustahil untuk mencipta kejutan ke atas Christie berdasarkan rekod pertemuan terakhir mereka sebelum ini, yang menyaksikan kemenangan memihak kepada Jun Hao.
Sementara itu, beregu wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah pula memperoleh laluan mudah di pusingan pertama apabila diundi bertemu Teng Chun Hsun-Yang Chu Yun dari Taiwan.
Sekiranya Pearly-Thinaah berjaya melangkah ke pusingan kedua, mereka dijadual bertemu sama ada Yin Hui Hsu-Jhih Yun Lin dari Taiwan atau Apriyani Rahayu-Siti Fadia Sliva Ramadahanti dari Indonesia yang juga merupakan tugas mudah bagi mereka.
Dua lagi pasangan yang bakal menjadi tumpuan negara iaitu beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani juga berdepan tugas mudah di pusingan pertama.
Aaron-Wooi Yik yang menjadi pemain pilihan kelima kejohanan bagaimanapun perlu berhati-hati bertemu gandingan tuan rumah Ben Lane-Sean Vendy yang merupakan pemain ke-15 dunia, manakala Sze Fei-Nur Izzudin diundi bertemu Kim Gi Jung-Kim Sa Rang dari Korea Selatan.
Bagi wakil beregu campuran negara yang menjadi pilihan pertama kejohanan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie turut menarik nafas lega apabila dijadual bertemu Dechapol Puavaranukroh-Supisara Paewsampran, manakala Chen Tang Jie-Toh Ee Wei diundi bertemu Rehan Naufal Kusharjanto-Gloria Emanuelle Widjaja dari Indonesia.
-- BERNAMA
#Lee Zii Jia #Badminton Seluruh England #laluan mudah #Pearly Tan-M Thinaah
;